DUNIA

Sekurang-kurangnya 9 cedera dalam serangan di stesen MRT di Taiwan

Agensi 19/12/2025 | 13:15 MYT
Polis Taiwan mengetatkan kawalan di kawasan sekitar Stesen Zhongshan selepas insiden bom asap dan serangan pisau yang mencederakan sembilan orang. Suspek dilaporkan maut selepas terjun dari bangunan pusat beli-belah berhampiran. - Foto REUTERS
TAIPEI: Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan cedera, termasuk empat mangsa yang mengalami kecederaan serius seperti luka tikaman, lebam dan sesak nafas akibat asap tebal, dalam satu insiden serangan di Stesen MRT Taipei, Taiwan, pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya sembilan orang cedera dalam insiden serangan di Stesen MRT Taipei, Taiwan, disebabkan oleh pelepasan bom asap yang mencetuskan kekecohan, dilaporkan oleh Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-Tai.
  • Serangan berlaku ketika waktu puncak petang, menyebabkan panik di kalangan pengguna stesen, dengan suspek dipercayai membawa bom asap dan senjata tajam sebelum melarikan diri dan didapati meninggal dunia akibat bunuh diri di hospital.
  • Pihak berkuasa Taiwan menutup kawasan sekitar stesen, meningkatkan kawalan keselamatan, dan sedang menyiasat motif serangan yang belum jelas, dengan siasatan dijangka mengambil beberapa hari untuk kesimpulan.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Insiden itu tercetus apabila seorang individu bertindak melepaskan bom asap, mencetuskan kekecohan dan mencederakan beberapa penumpang di stesen berkenaan sebelum dilaporkan membunuh diri.

Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-Tai dalam satu hantaran di laman media rasminya.

Kejadian berlaku ketika waktu puncak petang, menyebabkan panik dalam kalangan pengguna yang berada di platform antara pintu keluar M7 dan M8.

Menurut laporan media tempatan, suspek dipercayai membawa beberapa bom asap dan bahan mudah terbakar sebelum menyerang orang awam secara rambang dengan senjata tajam di Stesen Zhongshan.

Serangan ini berlaku selepas bom asap dilepaskan di Stesen Taipei, memaksa beberapa tren Laluan Bannan untuk tidak berhenti di stesen berkenaan buat sementara waktu.

Pasukan perubatan kecemasan segera memberikan rawatan di lokasi sebelum membawa mangsa yang parah ke hospital berdekatan, termasuk Hospital Universiti Nasional Taiwan.

Selepas serangan, suspek dilaporkan melarikan diri ke sebuah pusat beli-belah berhampiran Stesen Zhongshan.

Saksi mendakwa suspek jatuh atau terjun dari tingkat lima atau enam bangunan tersebut.

Dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia di hospital, dipercayai akibat bunuh diri.

Pihak berkuasa Taiwan segera menutup kawasan sekitar Stesen Taipei dan Zhongshan serta meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh rangkaian MRT.

Presiden Lai Ching-te dan Perdana Menteri Cho menggesa orang ramai supaya bertenang, mematuhi arahan polis, tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, dan melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan.

Setakat ini, motif serangan masih belum jelas. Polis Taipei sedang meneliti rakaman CCTV, mengambil keterangan saksi, dan mengumpul bukti fizikal untuk menentukan sama ada insiden ini berpunca daripada masalah peribadi, isu kesihatan mental, atau tindakan keganasan.

Siasatan dijangka mengambil masa beberapa hari sebelum sebarang kesimpulan diumumkan.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apa yang menyebabkan kekecohan dan kecederaan berlaku di Stesen MRT Taipei, Taiwan?
    A: Insiden kekecohan dan kecederaan berlaku apabila seorang individu melepaskan bom asap dan menyerang penumpang dengan senjata tajam di Stesen Zhongshan.
  • Q: Siapakah yang mengesahkan kejadian serangan di Stesen MRT Taipei?
    A: Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-Tai, mengesahkan kejadian serangan di Stesen MRT Taipei menerusi hantaran di laman media rasminya.
  • Q: Apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa selepas serangan berlaku?
    A: Pihak berkuasa Taiwan menutup kawasan sekitar Stesen Taipei dan Zhongshan, serta meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh rangkaian MRT.



#Serangan Taipei #bom asap #serangan pisau #Taipei