DUNIA
Sekurang-kurangnya lapan maut dalam tragedi belon udara panas di Brazil
Juruterbang dilaporkan cuba melakukan pendaratan kecemasan dan mengarahkan penumpang melompat apabila belon semakin menghampiri tanah. - Foto X/@RedFile
PRAIA GRANDE: Sekurang-kurangnya lapan orang maut selepas sebuah belon udara panas yang membawa 21 penumpang terbakar dan terhempas di bandar pesisir Praia Grande, negeri Santa Catarina, selatan Brazil.
Menurut Gabenor Santa Catarina, Jorginho Mello, seramai 13 penumpang terselamat dan kini menerima rawatan di hospital berdekatan.
Rakaman video oleh orang awam memaparkan detik mencemaskan saat belon itu mula diselubungi api sebelum jatuh terhempas ke tanah.
Siasatan awal mendapati kebakaran mungkin berpunca daripada sistem pembakaran gas utama yang digunakan untuk memanaskan udara dalam belon.
Juruterbang dilaporkan cuba melakukan pendaratan kecemasan dan mengarahkan penumpang melompat apabila belon semakin menghampiri tanah, namun sebahagian mereka gagal menyelamatkan diri sebelum api merebak.
Praia Grande merupakan destinasi popular untuk aktiviti belon udara panas, khususnya ketika musim perayaan Jun di Brazil.
Ini merupakan insiden kedua melibatkan belon udara panas dalam masa seminggu, selepas seorang wanita maut dalam kejadian berasingan di negeri São Paulo.
Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa bantuan dan sokongan kerajaan persekutuan akan diteruskan.