[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

Sekurang-kurangnya tiga cedera dalam insiden tikaman di masjid di bandar Hamilton, Kanada

Bernama 03/05/2025 | 11:00 MYT
Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dalam satu insiden tikaman di sebuah masjid di bandar Hamilton, Kanada, menurut polis pada Jumaat. - Foto hiasan
HAMILTON (Kanada): Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dalam satu insiden tikaman di sebuah masjid di bandar Hamilton, Kanada, menurut polis pada Jumaat.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan Perkhidmatan Polis Hamilton dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tikaman yang berlaku di sebuah masjid di pusat bandar.
Pihak berkuasa pada awalnya melaporkan dua individu telah dibawa ke hospital.
Seorang mangsa mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa dan dihantar ke hospital, manakala seorang lagi dirawat di lokasi kejadian akibat kecederaan ringan.
"Mangsa ketiga hadir sendiri ke hospital dengan kecederaan yang tidak serius," kata polis dalam kenyataan berasingan.
Pihak berkuasa mengesahkan dua suspek melarikan diri dari lokasi ke arah yang tidak diketahui.
Walaupun motif masih disiasat, polis berkata maklumat awal menunjukkan insiden itu bukan bermotifkan kebencian dan suspek serta mangsa saling mengenali.
Setakat ini tiada butiran mengenai suspek didedahkan dan polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
-- BERNAMA
#insiden tikaman #Hamilton #Kanada #masjid