TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan, sebarang perkembangan berkaitan rundingan antara Tehran dan Washington tidak boleh dianggap muktamad selagi keputusan akhir belum dicapai.
Beliau berkata, proses dialog serta pertukaran mesej antara kedua-dua pihak masih berterusan, namun adalah tidak wajar untuk membuat penilaian pada peringkat semasa.
“Tidak mungkin untuk membuat sebarang penilaian sehingga satu kesimpulan jelas dicapai; segala yang diperkatakan ketika ini adalah spekulasi dan tidak seharusnya diambil serius sehingga ia benar-benar pasti,” katanya.
Menurut laporan, rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat terus berdepan kebuntuan susulan perbezaan ketara dalam beberapa isu utama, termasuk program nuklear Iran dan terma perjanjian yang dicadangkan.
Situasi itu turut bertambah rumit selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan mengarahkan cadangan perjanjian yang sebelum ini hampir dimuktamadkan supaya dikaji semula dengan syarat lebih ketat.
Langkah tersebut melambatkan proses rundingan dan menimbulkan ketidaktentuan baharu dalam usaha mencapai kesepakatan bagi meredakan konflik.
Antara isu utama yang menjadi pertikaian termasuk tuntutan terhadap kewajipan nuklear Iran, akses kepada Selat Hormuz serta aspek bantuan ekonomi yang bakal diterima Tehran di bawah perjanjian berkenaan.
Dalam masa sama, pihak Iran menegaskan sebarang perjanjian hanya akan diterima sekiranya kepentingan dan hak negara itu terus terjamin sepenuhnya.
Kenyataan Araghchi dilihat sebagai usaha meredakan spekulasi yang semakin meningkat, di tengah-tengah pelbagai laporan media dan kenyataan politik yang memberikan gambaran berbeza mengenai status sebenar rundingan antara kedua-dua negara. - Agensi