TEHRAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata Selat Hormuz tidak akan kembali kepada keadaan yang wujud sebelum perang, sambil menegaskan bahawa perjanjian dengan Oman tidak bermaksud selat itu akan dibuka semula, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) yang memetik sebuah stesen penyiaran tempatan.
Dalam wawancara yang disiarkan di televisyen pada Ahad malam, Baqaei berkata perbincangan antara Tehran dan Muscat mengenai masa depan Selat Hormuz telah berlangsung sejak sekian lama, dengan matlamat mencapai satu rangka kerja khusus bagi memastikan navigasi maritim yang selamat di kawasan itu.
"Dalam apa jua keadaan, Selat Hormuz tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang (28 Februari)," kata Baqaei.
Beliau menjelaskan bahawa Iran dan Oman, sebagai dua negara pesisir Selat Hormuz, mempunyai tanggungjawab bersama dalam aspek keselamatan maritim dan pelayaran selamat. Menurut Baqaei, rundingan antara kedua-dua negara bermula sejurus selepas gencatan senjata pada 8 April lepas dan beberapa pusingan perbincangan telah diadakan.
Baqaei berkata lawatan luar negara pertama Menteri Luar Iran Abbas Araghchi selepas perang adalah ke Oman, yang menyaksikan perbincangan dengan Sultan Oman dan menteri luar negara itu merangkumi isu Selat Hormuz serta pewujudan laluan maritim yang selamat.
Diplomat Iran itu turut merujuk kepada peruntukan memorandum persefahaman mengenai penamatan perang, dengan menyatakan bahawa berdasarkan fasal kelima memorandum itu, pengurusan Selat Hormuz pada masa hadapan perlu dilaksanakan oleh Iran melalui rundingan dengan Oman serta dialog dengan negara-negara serantau.
"Dalam tempoh 22 atau 23 hari pertama pelaksanaan perjanjian itu, laluan utara Selat Hormuz berada dalam keadaan selamat sepenuhnya dan kapal-kapal melalui laluan berkenaan. Bagaimanapun, sebelum tempoh 30 hari yang diperuntukkan untuk memulihkan trafik maritim kepada keadaan sebelum perang berakhir, satu tindakan pencerobohan terhadap Iran telah berlaku," katanya.
Baqaei menambah bahawa laluan yang dipersetujui pada masa hadapan di Selat Hormuz bukanlah laluan utara mahupun laluan selatan sedia ada, sebaliknya laluan baharu yang akan ditentukan menerusi persetujuan antara Iran dan Oman.
Beliau menegaskan bahawa rundingan Tehran dengan Muscat bersifat dua hala dan tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga.
"Kita mesti memastikan Selat Hormuz tidak boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak yang melakukan pencerobohan terhadap Iran. Perkara ini memerlukan satu mekanisme yang memastikan hak kedaulatan Iran dihormati sepenuhnya," kata Baqaei.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Luar Iran itu menyentuh ancaman yang dibuat pegawai Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran dan berkata kenyataan sedemikian bukan perkara baharu memandangkan Tehran sebelum ini telah berdepan tindakan ketenteraan.
"Kami telah menghadapi lebih daripada sekadar ancaman. AS telah melakukan dua, dan dalam satu sudut, tiga pencerobohan ketenteraan berintensiti tinggi terhadap Iran. Kami telah melalui fasa-fasa itu," katanya.
Baqaei menegaskan bahawa keputusan Iran dibuat berdasarkan kepentingan negara dan pertimbangan keselamatan serta tidak akan dipengaruhi oleh ancaman, intimidasi atau tekanan media.
Mengulas dakwaan Presiden AS Donald Trump bahawa Iran berusaha menghentikan serangan, Baqaei berkata kenyataan sedemikian berulang kali terbukti tidak berasas dan menyifatkan penggunaan media sosial sebagai sebahagian daripada perang psikologi dan media terhadap Iran.
Beliau berkata pengalaman lalu menunjukkan bahawa ancaman dan tekanan media tidak akan memaksa Iran meninggalkan pendiriannya.
Sementara itu, Baqaei turut memaklumkan bahawa Iran menerima hubungan diplomatik daripada Bulgaria, United Kingdom dan Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu.
Beliau berkata tanggungjawab Iran adalah untuk memberi amaran mengenai akibat yang mungkin timbul daripada sebarang pencerobohan baharu atau peningkatan ketegangan ketenteraan.
"Mana-mana negara yang bekerjasama dalam pencerobohan terhadap Iran atau menyediakan pangkalan tentera, kemudahan atau sokongan logistik kepada pihak penceroboh akan meletakkan dirinya dalam kalangan pihak yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan itu dan perlu menerima akibat daripada tindakannya," kata Baqaei.
Beliau menyifatkan pendirian Iran sebagai berasaskan hak mempertahankan diri dan prinsip undang-undang antarabangsa, sambil menegaskan bahawa setiap negara bertanggungjawab melindungi kepentingan serta keselamatan negaranya.
Baqaei mengakhiri kenyataannya dengan berkata bahawa sebarang persefahaman antara Tehran dan Muscat mengenai laluan maritim baharu adalah berasingan daripada isu sama ada Selat Hormuz dibuka semula atau kekal terhad, sambil menambah bahawa status masa depan laluan air itu bergantung kepada perkembangan keselamatan serantau serta tindakan yang diambil oleh AS.
-- BERNAMA-IRNA