DUNIA
Selebriti jadi anggota DPR: ‘Politik bukan sinetron’ - Farish Noor

Kata Farish, sikap segelintir ahli DPR yang dilihat menari beri gambaran golongan elit politik di Indonesia tidak peka dan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat. - Tangkap layar media sosial.
KUALA LUMPUR: Politik adalah perkara serius bukan komedi atau sinetron, kata Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII), Profesor Farish Noor.
Farish juga khuatir kecenderungan sesetengah parti politik dengan strategi populis untuk meraih populariti dengan melantik selebriti sebagai anggota Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Menurutnya, masyarakat harus menerima hakikat bahawa tidak semua golongan pelakon, pelawak dan ahli komedi merupakan pakar politik atau ekonomi.
“Masyarakat Indonesia semakin matang dan telah wujud kesedaran bahawa politik ini sesuatu yang serius, bukan komedi, sinetron dan filem.“Isu-isu yang nyata (seperti) harga makanan dan minyak adalah isu yang perlu diatasi dengan rasional dan langkah-langkah yang jelas,” katanya semasa wawancara di segmen Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah beliau, sikap segelintir ahli DPR yang dilihat menari di dalam dewan melalui klip yang tular pada minggu lalu beri gambaran golongan elit politik di Indonesia tidak peka dan prihatin dengan masalah yang dihadapi masyarakat.
Farish juga melihat strategi politik begini tidak hanya berlaku di Indonesia malah merebak di kebanyakan negara sama ada di Eropah atau Asia.
“Politik populis ada juga harganya. Kita lihat apabila masyarakat ingin meluahkan pendapat dan kritikan serta persoalan mereka.. tetapi kalau tiada pakar ekonomi, politik, geopolitik yang dapat terangkan, kelihatan seakan-akan golongan elit itu telah putus hubungannya dengan masyarakat umum.
“Ini bukan hanya masalah cabaran untuk Indonesia malah semua negara di rantau kita. Geseren ke arah politik popular atau populis begini jelas kita lihat dengan begitu banyak gimik yang digunakan untuk mendapat undi.
“Tetapi setelah itu dipandang polisi, di mana kebijakan politik? Itu yang masyarakat nantikan,” ujarnya lagi.
Beliau turut berpendapat media sosial merupakan cabaran terbesar disebalik krisis politik yang melanda Indonesia sejak 28 Ogos lalu apabila banyak berita palsu yang berlegar dan mengeruhkan keadaan semasa demonstrasi diadakan.
“Kita juga berdepan dengan cabaran yang baru iaitu media sosial ini digunakan sebagai satu senjata yang juga dapat menyebabkan hancurnya sesebuah masyarakat.
“Ini yang kita lihat apa yang berlaku minggu lalu di mana banyak berita palsu yang disebarkan ada gambar bangunan rumah terbakar sebenarnya itu tiada kena mengena dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya lagi apabila keadaan bertambah parah ia menenggelamkan isu dan tuntutan sebenar yang telah dibangkitkan oleh golongan kelas pekerja dan mahasiswa.
“Banyak isu-isu ini saya rasa sebenarnya adalah isu struktur tentang ekonomi, pentadbiran, hukum dan lain-lain lagi, malangnya oleh kerana apa yang berlaku apabila tercetusnya demonstrasi yang agak ganas.
“Suara-suara yang ingin mengedepankan isu-isu yang penting telah tenggelam kerana fokus kita pula beralih kepada kekasaran,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami