Selepas dikaitkan dengan bunuh, bekas suami Abby Choi didakwa kes curi pula

Agensi
Februari 28, 2023 08:55 MYT
Peti ais yang dipercayai digunakan untuk menyimpan anggota badan mendiang Abby Choi (gambar kecil). - Gambar REUTERS
BEKAS suami selebriti media sosial Hong Kong, Abby Choi dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada Selasa atas dakwaan terlibat dalam tujuh kes kecurian antara lapan hingga 10 tahun lalu.
Alex Kwong, 28, yang merupakan suspek bunuh Choi yang direman tanpa jaminan hadir ke Mahkamah Daerah tanpa sebarang representasi undang-undang.
Memetik laporan South China Morning Post, Kwong melarikan diri daripada tuduhan kes kecurian pada 2015 tetapi berjaya ditangkap minggu lalu oleh polis berhubung kematian Choi.
Tertuduh didakwa atas tujuh pertuduhan mencuri membabitkan dakwaan mencuri 39 rantai leher, 32 gelang, 13 jongkong emas, 102 butir emas, enam loket serta 10 tael emas (kira-kira 375 gram) dalam tujuh kejadian berasingan antara Mei 2013 dan Januari 2015.
BACA: Kepala ditemui dalam sup, ini kronologi pembunuhan kejam Abby Choi
Mahkamah memberitahu barangan dicuri itu dipercayai milik tujuh individu.
Insiden berlaku di beberapa lokasi termasuk Mong Kok, Yau Ma Tei, serta hotel Harbour Plaza Metropolis di Hung Hom, Hong Kong.
Pihak pendakwaan memohon untuk menangguhkan kes itu selama 10 minggu bagi meneliti semula bukti dan tidak menolak pertuduhan baharu.
Ketua Hakim Daerah, Justin Ko King-sau memberitahu Kwong bahawa mahkamah telah merampas wang jaminannya pada November 2015 selepas dia melarikan diri dan gagal hadir prosiding.
Hakim kemudian memerintahkan Kwong direman dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan pada 9 Mei depan.
Terdahulu, Kwong ditahan di terminal feri di pantai barat laut Pulau Lantau, Hong Kong pada Sabtu kerana disyaki trlibat dalam pembunuhan Choi.
Setakat ini, empat suspek iaitu Kwong, bekas abang ipar serta ibu bapa mentua Choi ditahan reman tanpa ikat jamin selepas dihadapkan ke mahkamah pada Isnin atas tuduhan membunuh dan menghalang proses keadilan.
#Kematian Abby Choi #Abby Choi dikerat #Pembunuhan tragis Abby Choi #bekas suami Abby Choi