MAROS: Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin sekali lagi menjadi perhatian apabila sebuah pesawat jenis CASA milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) dilaporkan tergelincir di landasan pacu, tengah hari Selasa.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 11.25 pagi waktu Indonesia Tengah (WITA) itu merupakan kemalangan kedua membabitkan pesawat tentera dalam tempoh dua hari berturut-turut di lapangan terbang tersebut.
Sehari sebelum itu, sebuah jet pejuang Sukhoi Su-30MK2 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) dilaporkan terbabas ketika menjalani ujian penerbangan di kawasan lapangan terbang sama.
Pemangku Ketua Komunikasi Cawangan dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin, Taufan Yudhistira, mengesahkan pesawat CASA milik TNI-AL itu tergelincir di landasan pacu utara-selatan (runway 03-21).
Beliau mengesahkan kejadian itu selepas rakaman video yang memaparkan pesawat terbabit berada di luar landasan tular di media sosial.
Susulan insiden, pasukan keselamatan lapangan terbang termasuk anggota bomba dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan kerja pemindahan serta mengawal kawasan kejadian.
Pihak pengurusan lapangan terbang berkata insiden itu tidak menjejaskan operasi penerbangan komersial kerana semua pergerakan pesawat dialihkan ke landasan pacu timur-barat (runway 13-31).
Setakat ini, punca kejadian serta keadaan kru pesawat masih belum diumumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Indonesia.