PHNOM PENH: Seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang rakyat tempatan ditahan berhubung kesalahan mengedar hampir 43 kilogram (kg) dadah, menurut Polis Kemboja pada Sabtu.

Lelaki asing berusia 33 tahun dan rakyat tempatan 29 tahun itu ditahan di dua lokasi di Phnom Penh pada 6 Mac lepas, lapor Xinhua.

"Sebanyak 42.7 kg dadah jenis kristal methamphetamine (ice) turut dirampas ketika serbuan dijalankan," menurut laman sesawang Polis Kemboja.

Kemboja tidak mengenakan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah.

Di bawah undang-undang negara itu, seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 80 gram dadah boleh dikenakan penjara seumur hidup.

Menurut Jabatan Polis Anti Dadah (ADP), pada 2021, pihak berkuasa telah menahan 13,765 suspek berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan 6,242 kes, serta merampas 4.43 tan dadah terlarang, kebanyakannya jenis ice, heroin, dan ekstasi.

-- BERNAMA