DUNIA

Sembilan maut dalam serangan bersenjata di Afrika Selatan

Astro Awani 21/12/2025 | 22:45 MYT
Pegawai forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian tembakan awal pagi di kawasan perbandaran Bekkersdal, barat daya Johannesburg, Afrika Selatan. - Foto REUTERS
BEKKERSDAL: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh manakala 10 lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah kedai arak di Bekkersdal, sebuah kawasan perlombongan emas yang terletak kira-kira 40 kilometer di barat daya Johannesburg, awal pagi Ahad.

Menurut pihak polis, serangan berlaku sekitar jam 1 pagi waktu tempatan apabila kira-kira 12 suspek bersenjata menaiki sebuah van putih dan kereta sedan perak tiba di premis berkenaan sebelum menyerbu masuk dan melepaskan tembakan ke arah pelanggan tanpa sebarang provokasi.

“Tiga mangsa maut di dalam premis, manakala selebihnya ditembak ketika cuba melarikan diri.

"Penyerang terus melepaskan tembakan walaupun selepas keluar dari lokasi,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah, Mejar Jeneral Fred Kekana kepada stesen televisyen SABC.

Insiden ini merupakan serangan kedua seumpamanya dalam tempoh kurang sebulan di Afrika Selatan.

Pada 6 Disember lalu, satu lagi serangan di sebuah kedai arak berhampiran Pretoria mengorbankan 12 orang, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Polis kini melancarkan operasi memburu suspek yang masih bebas.

Setakat ini, motif serangan masih belum dikenal pasti dan tiada tangkapan dibuat.

Pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa kebanyakan suspek bersenjatakan pistol, manakala seorang daripadanya membawa raifal AK-47.

Afrika Selatan telah lama berdepan isu keganasan bersenjata dan kadar jenayah yang tinggi, terutamanya di kawasan bandar dan penempatan miskin.

Serangan seperti ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan keupayaan pihak berkuasa untuk mengawal jenayah terancang.

Pihak berkuasa menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini agar tampil membantu siasatan.






#serangan bersenjata #kedai arak #isu keganasan #keselamatan awam