TANZANIA: Sembilan orang maut termasuk lapan kanak-kanak selepas makan daging penyu di Pulau Pemba, Kepulauan Zanzibar.

Menurut laporan akhbar The Guardian, sebanyak 78 individu lain telah dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

Pegawai perubatan daerah Mkoani, Dr Bakari berkata, mangsa dewasa yang maut merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang turut mati akibat chelonitoxism.

Bakari turut memberitahu, ujian makmal telah mengesahkan semua mangsa makan daging penyu pada Selasa lalu.

Daging penyu dianggap sebagai makanan eksotik di Zanzibar, namun ia boleh menyebabkan kematian jika dimakan selalu akibat chelonitoxism, sejenis keracunan makanan.

Justeru, pihak berkuasa di Zanzibar iaitu wilayah separa autonomi di negara Afrika Timur Tanzania menghantar pasukan pengurusan bencana bagi menggesa orang ramai mengelak daripada makan daging penyu.

Pada November 2021, tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, meninggal dunia di Pemba selepas makan daging penyu, manakala tiga yang lain dimasukkan ke hospital. – Agensi

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian