DUNIA

Sempadan Thailand-Kemboja tenang menjelang rundingan gencatan senjata

Bernama 06/08/2025 | 08:00 MYT
Kerajaan Thailand mengesahkan tiada insiden keganasan berlaku di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja dari malam 5 Ogos hingga pagi 6 Ogos. -Gambar fail
BANGKOK: Situasi di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja kekal tenang tanpa sebarang laporan insiden keganasan di ketujuh-tujuh wilayah sempadan, menurut kerajaan Thailand.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Thailand mengesahkan tiada insiden keganasan berlaku di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja dari malam 5 Ogos hingga pagi 6 Ogos, dan pasukan EOD terus menjalankan operasi pelupusan bom.
  • Rundingan antara Thailand dan Kemboja di bawah Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) sedang berlangsung bagi mencapai persetujuan pelaksanaan gencatan senjata yang mampan.
  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan harapan agar mesyuarat GBC pada Khamis dapat menyelesaikan pertikaian sempadan dan memperkukuh gencatan senjata antara kedua-dua negara.


Jurucakap kerajaan, Jirayu Huangsap berkata bahawa dari lewat malam 5 Ogos hingga 7 pagi 6 Ogos, tiada laporan mengenai insiden keganasan di sepanjang sempadan.

Jirayu, yang juga ahli Pasukan Petugas Khas Mengurus Situasi Sempadan Thai-Kemboja (STF-TCB), berkata laporan barisan hadapan mengesahkan bahawa tiada pertempuran serius berlaku sepanjang malam.

"Sementara itu, pasukan Pelupusan Bahan Letupan (EOD) terus menjalankan operasi pemantauan dan pelupusan bom yang belum meletup," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Diraja Thailand pada Rabu.

Mengenai rundingan di bawah kerangka Jawatankuasa Am Sempadan (GBC), Jirayu berkata sekretariat Thailand dan Kemboja masih giat mengadakan perbincangan dan rundingan berterusan.

"Perbincangan ini bertujuan merapatkan jurang antara pendirian kedua-dua pihak mengenai pelbagai isu, dengan matlamat mencapai persetujuan mengenai pelaksanaan gencatan senjata," kata beliau.

Jirayu menegaskan bahawa kerajaan Thailand amat berharap mesyuarat GBC akan menghasilkan penguatkuasaan perjanjian gencatan senjata yang mampan dan berkesan.

Pada Selasa, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertikaian sempadan yang telah lama berlarutan antara Thailand dan Kemboja dijangka dapat diselesaikan pada Khamis menerusi mesyuarat GBC.

Anwar memaklumkan bahawa menteri pertahanan kedua-dua negara akan menyertai rundingan itu, dengan harapan mencapai sekurang-kurangnya persefahaman bersama untuk mengekalkan atau memperkukuh gencatan senjata serta mencegah sebarang pelanggaran selanjutnya, terutama di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Pada 28 Julai lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat menerusi mesyuarat khas yang dihoskan oleh Anwar di Putrajaya.

-- BERNAMA




#gencatan senjata #konflik Thailand-Kemboja #Anwar Ibrahim #tiada insiden keganasan