POLIS India menahan semua suspek terbabit dalam kes rogol seorang vlogger pengembaraan Sepanyol yang sedang dalam jelajah motosikal bersama suaminya minggu lalu.

Polis di negeri timur Jharkhand sebelum ini menangkap tiga suspek selepas serangan kejam itu, yang berlaku di daerah Dumka, pada malam 1 Mac lalu.

Lima lagi lelaki kini ditangkap, menjadikan jumlah keseluruhan suspek kepada lapan orang.

Mereka berusia antara 18 hingga 25 tahun, kata polis pada Selasa.

Lelaki itu mengikat si suami dan bergilir-gilir merogol wanita terbabit selama kira-kira dua jam selepas pasangan itu memasang khemah untuk bermalam di kawasan Hansdiha, kira-kira 300 kilometer dari ibu negeri Ranchi.

"Mereka memukul kami dan merompak kami, walaupun tidak banyak perkara (diambil) kerana apa yang mereka mahu ialah merogol saya," kata wanita itu yang mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Sepanyol dan Brazil berusia 28 tahun, dalam catatan Instagram.

"Mereka meletakkan pisau di leher saya dan memberitahu akan membunuh saya," kata lelaki itu.

Pasangan itu berlepas ke Nepal pada Selasa dan dari sana, mereka merancang untuk terbang ke Sepanyol untuk bersama keluarga mereka.

Mereka merancang untuk meneruskan perjalanan kembara bermotosikal dunia selepas pulih sepenuhnya daripada pengalaman ngeri itu.

Pasangan itu mengembara ke lebih 60 negara, sebelum datang ke India.

Kedutaan Brazil berkata, ia berhubung dengan misi diplomatik Sepanyol untuk membantu mangsa.

Kes rogol beramai-ramai itu sekali lagi memberi tumpuan kepada keganasan seksual di India.

Secara purata, kira-kira 90 rogol setiap hari direkodkan pada 2022, menurut data dari Biro Rekod Jenayah Kebangsaan.

Negeri Rajasthan, Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh mencatatkan jumlah tertinggi kes rogol.

Banyak kes serangan seksual tidak dilaporkan kerana mangsa sering takut terhadap stigma sosial atau tindakan balas, dan kadar sabitan kes itu kekal rendah.

Mahkamah Tinggi Jharkhand sudah melaksanakan suo moto susulan kes rogol berkumpulan itu.

"Jenayah berkaitan seks terhadap seorang wanita asing berkemungkinan membawa publisiti buruk terhadap negara dan dengan itu mencemarkan imej India di seluruh dunia," kata mahkamah itu, menurut laporan media tempatan.

Pasangan itu diberi satu juta rupee (kira-kira AS$12,000 atau kira-kira RM56,000) sebagai pampasan oleh pihak berkuasa. - Sinar Harian memetik agensi