GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Senat AS gagal hentikan penutupan kerajaan

Bernama 04/10/2025 | 02:50 MYT
Penutupan kerajaan AS yang berterusan menyebabkan banyak operasi agensi persekutuan terhenti serta pembekuan gaji ribuan kakitangan kerajaan yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. - Foto AP
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat gagal menghentikan penutupan kerajaan selepas menolak cadangan peruntukan daripada Parti Republikan, sekali gus memanjangkan penutupan kerajaan sekurang-kurangnya sehingga minggu depan, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Sejak Rabu lalu, peruntukan untuk agensi persekutuan dihentikan, menjejaskan pelbagai perkhidmatan awam akibat kebuntuan di Kongres.

Cadangan Republikan tidak memperoleh sokongan mencukupi daripada Demokrat untuk diluluskan dalam dewan.

Pada hari ketiga penutupan kerajaan, Presiden Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap Demokrat supaya menamatkan penutupan dan meluluskan rancangan Republikan yang akan mengembalikan peruntukan.

Namun, usaha itu gagal selepas undian di Senat berakhir dengan 54-44, kurang daripada 60 undi yang diperlukan.

Dalam perkembangan lain,pentadbiran AS pada Jumaat membekukan dana pengangkutan bernilai US$2.1 bilion untuk bandar Chicago, sekali gus menafikan sebuah lagi bandar yang cenderung Demokrat daripada menerima peruntukan.

Pentadbiran itu turut membekukan sekurang-kurangnya US$28 bilion dana untuk bandar dan negeri yang berpihak kepada Demokrat.

Penutupan kerajaan yang berterusan itu menyebabkan banyak operasi agensi persekutuan terhenti serta pembekuan gaji ribuan kakitangan kerajaan yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

-- BERNAMA



#Senat AS #perkhidmatan awam #Amerika Syarikat #penutupan kerajaan AS