DUNIA

Senat AS sokong pakej pembiayaan kerajaan untuk akhiri penutupan

Bernama 10/11/2025 | 06:15 MYT
Penutupan kerajaan yang bermula pada 1 Okt itu kini menjadi yang terpanjang dalam sejarah AS. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) dalam satu undian prosedur telah menyokong pakej rang undang-undang pembiayaan kerajaan yang dijangka akan menamatkan penutupan kerajaan terpanjang dalam sejarah negara itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Dalam undian itu, seramai 60 senator menyokong pakej berkenaan manakala 40 lagi menentang. Sebanyak 60 undi diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang itu.

Pakej yang diluluskan itu akan membiayai operasi Kongres dan perkhidmatan sokongannya, Jabatan Pertanian - termasuk bayaran di bawah program bantuan makanan SNAP - serta Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA). Ia turut menampung program dan faedah untuk veteran serta projek pembinaan Pentagon bagi tahun fiskal 2026.

Baki operasi kerajaan akan dibiayai melalui satu resolusi berterusan yang sah sehingga 30 Jan 2026.

Pakej itu juga membatalkan pemberhentian besar-besaran kakitangan persekutuan yang bermula pada 1 Okt lepas.

Selepas undian prosedur itu, Senat perlu mengadakan satu lagi undian akhir sebelum pakej rang undang-undang berkenaan diluluskan oleh Dewan Perwakilan dan dihantar kepada Presiden Donald Trump untuk ditandatangani.

Penutupan kerajaan yang bermula pada 1 Okt itu kini menjadi yang terpanjang dalam sejarah AS.

-- BERNAMA



#penutupan kerajaan #AS #Amerika Syarikat #Donald Trump