WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS), Chris Van Hollen, menuduh Presiden Donald Trump meraih keuntungan peribadi berjuta-juta dolar daripada konflik dengan Iran menerusi pegangan saham syarikat tenaga miliknya.
Tuduhan itu dibuat selepas laporan anggota Demokrat dalam Jawatankuasa Ekonomi Bersama (JEC) Kongres mendapati nilai pegangan saham syarikat minyak dan gas milik Trump meningkat sehingga AS$15.5 juta pada tahun ini.
Menerusi hantaran di platform media sosial X, Van Hollen berkata Trump telah mengubah White House menjadi sebuah kasino.
"Ketika harga barang meningkat untuk rakyat Amerika, keadaan portfolio sahamnya pula menjadi semakin baik," katanya.
Trump’s turned the White House into a pay-to-play casino. While prices are going up for Americans, things couldn’t be going better for his stock portfolio.
Trump continues to profit off Americans’ pain – including the senseless war he started in Iran.
Pure corruption. pic.twitter.com/Eb85DoVnAz— Senator Chris Van Hollen (@ChrisVanHollen) August 25, 2026
Beliau turut menyelar tindakan itu yang disifatkannya sebagai satu bentuk rasuah ketika pasaran domestik terkesan akibat krisis ketenteraan di Asia Barat.
"Trump berterusan meraih keuntungan daripada keperitan rakyat Amerika, termasuk perang yang dicetuskannya di Iran.
"Ini rasuah yang nyata," kata Van Hollen dalam hantaran itu.
Krisis geopolitik itu menyaksikan konflik ketenteraan yang berlarutan, sekali gus memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga global dan rantaian ekonomi domestik AS.