DUNIA

Seniman seru “Bebaskan Palestin” di Anugerah Emmy di Los Angeles

Bernama 15/09/2025 | 22:45 MYT
Pelakon Javier Bardem yang memakai keffiyeh dan menyuarakan sokongan kepada Pekerja Filem untuk Palestin, turut berkata di atas karpet merah: "Hari ini saya hadir untuk mengecam genosid di Gaza... Bebaskan Palestin!" - Gambar Reuters
ISTANBUL: Beberapa seniman menyeru "Bebaskan Palestin" pada Anugerah Emmy ke-77 di Los Angeles, California, pada Ahad malam, dengan memakai keffiyeh dan beg tangan bertulis "GENCATAN SENJATA!", lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bintang siri "Hacks", Hannah Einbinder memenangi Emmy pertamanya bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam siri komedi dan menutup ucapan penerimaannya dengan berkata: "Go Birds, F--- ICE dan Bebaskan Palestin."

Beliau kemudian menjelaskan kenyataan itu ketika namanya diukir pada trofi di belakang pentas.

"Menjadi kewajipan saya sebagai seorang Yahudi untuk membezakan Yahudi dengan Israel, " katanya.

Pelakon Javier Bardem yang memakai keffiyeh dan menyuarakan sokongan kepada Pekerja Filem untuk Palestin, turut berkata di atas karpet merah: "Hari ini saya hadir untuk mengecam genosid di Gaza... Bebaskan Palestin!"

Dalam minggu menjelang Anugerah Emmy, seramai 3,900 nama dalam industri perfileman telah menandatangani ikrar terbuka yang menyatakan mereka tidak akan bekerjasama dengan institusi atau syarikat filem Israel yang "terlibat dalam genosid dan apartheid terhadap rakyat Palestin."

Kenyataan ikrar yang diterbitkan pada Isnin oleh organisasi Pekerja Filem untuk Palestin itu menyebut contoh keterlibatan termasuk "mencuci imej atau menghalalkan genosid dan apartheid, dan/atau bekerjasama dengan kerajaan yang melaksanakannya."

"Apa yang kita saksikan itu adalah genosid. Dan seperti yang saya katakan dalam wawancara anda, ia berlaku dalam 4K setiap hari, ini mesti dihentikan," kata Bardem dalam satu temu bual.

Beliau menambah tidak akan, dan tidak boleh, bekerja dengan pihak yang "menghalalkan atau menyokong genosid."

"Saya tidak boleh. Ia semudah itu. Dan kita tidak sepatutnya melakukannya dalam industri ini atau industri lain. Hari ini di Madrid, Sepanyol, acara jelajah berbasikal dihentikan oleh ribuan orang yang berarak di jalanan menyatakan bahawa kita tidak boleh membenarkan pasukan Israel menyertai perlumbaan itu," katanya.

Megan Stalter daripada siri "Hacks" turut bergambar di karpet merah sambil memegang beg tangan berwarna putih dengan tulisan besar "GENCATAN SENJATA!".

-- BERNAMA




#Bebaskan Palestin #Genosid Gaza #Anugerah Emmy #gencatan senjata