NEW YORK: China komited tidak akan menjadi yang pertama menggunakan senjata nuklear, walaupun ia menyokong aspek pertahanan diri.

Komitmen ini dinyatakan wakil Beijing dalam mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meneliti semula Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).

Menurut Fu Cong, China mahu mendukung konsep keselamatan bersama, dalam isu pelucutan nuklear.

"China komited dalam apa jua keadaan.

"Ke arah pembangunan aman dan strategi nuklear untuk pertahanan diri, dan bertegas tidak akan menjadi yang pertama menggunakan senjaya nuklear, pada bila-bila masa dan untuk apa jua keadaan," katanya.

NPT berkuatkuasa sejak 1970 merupakan perjanjian paling signifikan berkaitan kawalan senjata nuklear,  dengan 191 anggota.

Di bawah perlembagaannya, lima negara kuasa nuklear, Amerika Syarikat, China, Rusia, Britain dan Perancis, setuju untuk berunding ke arah pelucutan senjata nuklear.

Sementara negara bukan kuasa nuklear berjanji untuk tidak menyokong pemilikan senjata nuklear.

Sebagai pertukaran ia diberikan jaminan untuk dibenarkan membangunkan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan.

Bagaimanapun, India, Pakistan dan Korea Utara yang tidak menjadi anggota perjanjian NPT, meneruskan hasrat memperkasa senjata nuklear sendiri.

Mesyuarat penelitian semula NPT dijadual sehingga 26 Ogos depan.

Ia mensasarkan untuk mencapai konsensus bagi langkah seterusnya dalam kawalan senjata nuklear.

Penelitian semula NPT untuk lima tahun sepatutnya berllangsung pada 2020, namun ditunda kerana pandemik COVID-19.