DUNIA

Sentimen industri pembuatan Singapura kekal positif di tengah-tengah tekanan global

Bernama 02/02/2026 | 15:45 MYT
EDB berkata kajian itu mendapati 63 peratus pengeluar menjangkakan keadaan perniagaan secara umumnya kekal stabil bagi tempoh Januari hingga Jun 2026. - Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Sektor pembuatan kekal optimis namun tetap berwaspada terhadap sentimen perniagaan pada separuh pertama 2026, meskipun berdepan tekanan terhadap ekonomi dan perdagangan global, menurut satu tinjauan terbaharu oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB).


Ringkasan AI
  • Sektor pembuatan kekal optimis namun berhati-hati terhadap sentimen perniagaan pada separuh pertama 2026, menurut tinjauan terbaharu oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB).
  • Kajian menunjukkan 63% pengeluar menjangkakan keadaan perniagaan stabil, 24% yakin dengan prospek yang lebih baik, dan 13% melihat prospek yang lemah.
  • Kluster elektronik menonjol sebagai yang paling optimis, disokong oleh permintaan AI, walaupun terdapat kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan global.


Dalam satu kenyataan hari ini, EDB berkata kajian itu mendapati 63 peratus pengeluar menjangkakan keadaan perniagaan secara umumnya kekal stabil bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, 24 peratus mengunjurkan prospek perniagaan yang lebih baik, manakala 13 peratus menjangkakan prospek perniagaan yang lebih lemah.

Sementara itu, baki bersih 11 peratus firma pembuatan menjangkakan prospek perniagaan yang lebih baik pada separuh pertama 2026 berbanding suku keempat 2025.

"Dalam sektor pembuatan, kluster elektronik adalah yang paling optimis, dengan baki 33 peratus firma megunjurkan prospek perniagaan yang positif dalam tempoh enam bulan akan datang sehingga Jun 2026.

"Sentimen positif ini sebahagian besarnya didorong oleh segmen semikonduktor, disokong oleh permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang berterusan, meskipun terdapat kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan dan tarif Amerika Syarikat," katanya.

Tinjauan unjuran perniagaan bagi sektor pembuatan untuk separuh pertama 2026 itu dijalankan antara Disember 2025 dan Januari 2026, dengan 83 peratus daripada 406 pertubuhan pembuatan yang ditinjau memberikan maklum balas.

Sementara itu, EDB berkata 80 peratus firma dalam sektor pembuatan menjangkakan tahap guna tenaga pada suku pertama 2026 kekal sama seperti suku keempat 2025.

Dalam kalangan kluster pembuatan, kluster elektronik, kejuruteraan pengangkutan dan kejuruteraan ketepatan merancang untuk mengambil lebih ramai pekerja, manakala kluster lain menjangkakan tenaga kerja mereka kekal sama atau berkurangan.

"Di tengah-tengah tekanan ekonomi yang berterusan, baki wajaran 22 peratus firma dalam sektor pembuatan menjangkakan cabaran dalam memperoleh pesanan eksport pada suku pertama 2026.

"Dua faktor utama yang mengehadkan adalah persaingan harga daripada pesaing luar negara serta keadaan politik atau ekonomi di luar negara, termasuk ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan berkaitan tarif," katanya.

-- BERNAMA

#kecerdasan buatan #semikonduktor #pesaing luar negara #geopolitik