MINNEAPOLIS: Pihak berkuasa mengerahkan anggota keselamatan dalam jumlah besar ke pusat bandar Minneapolis, Minnesota selepas satu kejadian tembakan yang mengakibatkan beberapa mangsa, termasuk dua anggota polis, dilaporkan berlaku pada Rabu.
Menurut Jabatan Polis Minneapolis, kejadian itu berlaku berhampiran 15 East Grant Street dan orang ramai diminta menjauhi kawasan berkenaan sementara operasi keselamatan dijalankan.
Media tempatan melaporkan beberapa individu cedera dalam insiden itu, manakala dua anggota polis turut terkena tembakan ketika bertindak balas terhadap kejadian berkenaan.
Hospital Hennepin Healthcare memaklumkan tujuh mangsa dibawa ke pusat perubatan itu, dengan sekurang-kurangnya seorang disahkan maut dan enam lagi cedera.
Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah bangunan pangsapuri di kawasan berhampiran Loring Park.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan anggota polis bersenjata mengepung bangunan terbabit ketika operasi dijalankan.
Pasukan keselamatan daripada pelbagai agensi, termasuk polis negeri Minnesota, pihak persekutuan dan Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF), turut dikerahkan bagi membantu operasi di lokasi kejadian.
Gabenor Minnesota, Tim Walz, berkata pegawai negeri sedang membantu pihak berkuasa tempatan dan perkembangan lanjut akan diumumkan sebaik maklumat diperoleh.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah sebenar mangsa yang terlibat.