Skip to main content

Dunia

Seorang maut dalam serangan pedang di sekolah Sweden

Police officers work at the site where several people were injured at a Swedish high school by a person armed with a sword, according to the officials of the Fagersta municipality, at Brinell School in Fagersta, central Sweden, August 21, 2026. REUTERS/Philip O’Connor
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian selepas beberapa individu cedera dalam serangan yang dilakukan seorang suspek bersenjatakan pedang di Sekolah Brinell, Fagersta, di tengah Sweden. - Foto REUTERS
Advertisement

FAGERSTA: Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam serangan menggunakan pedang di sebuah sekolah menengah di Fagersta, tengah Sweden, pada Jumaat, menurut pihak berkuasa negara itu.

Polis memaklumkan seorang suspek lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas kejadian di Sekolah Brinell yang berlaku ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung.

Menurut polis, anggota keselamatan melepaskan tembakan ke arah suspek sebelum menahannya atas syak wasangka membunuh. Identiti suspek bagaimanapun belum didedahkan kepada umum.

Dua remaja lelaki dilaporkan mengalami kecederaan serius, manakala seorang lagi mangsa cedera ringan. Pihak berkuasa belum mendedahkan identiti mangsa yang maut.

Insiden itu mencetuskan langkah keselamatan ketat apabila lapan sekolah lain di kawasan berkenaan diletakkan dalam keadaan tutup sementara (lockdown), selain amaran berjaga-jaga yang tinggi diisytiharkan di wilayah Västmanland sebelum ditarik balik selepas keadaan disahkan terkawal.

Penyiar awam Sweden, SVT, melaporkan suspek memakai topi keledar ketika serangan berlaku dan dipercayai merupakan bekas pelajar sekolah tersebut. Polis kini sedang menyiasat motif kejadian dan menegaskan tiada lagi ancaman kepada orang awam.

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, menyifatkan kejadian itu sebagai insiden serius dan berkata pihak berkuasa sedang bekerja keras untuk mengenal pasti punca serangan.

Raja Sweden, Raja Carl XVI Gustaf, turut melahirkan rasa dukacita atas kejadian terbabit.

Baginda merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa serta keluarga yang terjejas akibat insiden berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Diraja.

Sekolah Brinell, yang mempunyai kira-kira 450 hingga 500 pelajar dan terletak sekitar 170 kilometer di barat laut Stockholm, baru sahaja memulakan sesi persekolahan selepas cuti musim panas. Bagi sebahagian pelajar, hari kejadian merupakan hari pertama mereka kembali ke sekolah.

Sweden menyaksikan beberapa insiden keganasan di institusi pendidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada 2025, negara itu mencatatkan insiden tembakan beramai-ramai paling buruk dalam sejarahnya apabila 11 orang, termasuk penyerang, terbunuh di sebuah pusat pendidikan dewasa di Orebro.

Pada 2022, dua guru terbunuh dalam serangan di sebuah sekolah menengah di Malmo, manakala pada 2015, seorang guru dan pelajar maut dalam serangan pedang di sebuah sekolah di Trollhattan.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement