Seorang terbunuh manakala dua lagi cedera dalam satu insiden berbalas tembakan di pekan Lunugamwehera yang terletak di selatan Sri Lanka pada awal Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.

Seorang jurucakap polis berkata insiden itu adalah akibat daripada satu pertengkaran yang berlaku antara dua kumpulan di sebuah parti.

Kedua-dua kumpulan mula menyerang antara satu sama lain sebelum satu kumpulan kemudiannya melepaskan tembakan.

Beberapa mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Pangkalan Hambantota di mana seorang daripada mereka meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Polis telah melancarkan siasatan dan kini memburu dua suspek yang dikaitkan dengan insiden itu.

-- BERNAMA