DUNIA

Seorang maut, lima anggota polis cedera kebocoran gas di restoran

Astro Awani 16/09/2025 | 04:10 MYT
Fire and Rescue NSW mengesan paras karbon monoksida yang sangat tinggi dalam premis, dipercayai punca keracunan mangsa. - Foto X/True Crime Updates
SYDNEY: Seorang lelaki maut manakala sekurang-kurangnya enam individu termasuk lima pegawai polis cedera selepas berlaku kebocoran gas di sebuah restoran di Riverstone, barat laut Sydney pagi Selasa.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki terbunuh dan lima pegawai polis cedera akibat terdedah kepada gas berbahaya di restoran Riverstone, Sydney.
  • Fire and Rescue NSW mengesan paras karbon monoksida yang sangat tinggi dalam premis, dipercayai punca keracunan mangsa.
  • Restoran Haveli Indian ditutup sementara untuk siasatan, dengan pasukan Hazmat dan paramedik khas dikerahkan ke lokasi.


Pasukan kecemasan dipanggil ke lokasi sekitar jam 9.15 pagi selepas pemilik restoran dan anaknya menemui seorang lelaki berusia 25 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam premis.

Ketika cuba memberikan bantuan kecemasan, lima anggota polis dipercayai turut terdedah kepada gas berbahaya dan mengalami simptom keracunan.

Menurut Fire and Rescue NSW, tahap karbon monoksida di dalam bangunan itu didapati berada pada paras yang “sangat tinggi”.

Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan termasuk Blacktown, Mount Druitt dan Hawkesbury untuk rawatan lanjut.

“Para pegawai bertindak berani dengan cuba menyelamatkan mangsa, namun mereka sendiri terdedah kepada risiko kesihatan,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis NSW, Gavin Wood.

Punca kebocoran masih dalam siasatan, dan pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada terdapat pelanggaran keselamatan atau kerosakan teknikal yang menyebabkan insiden tersebut.

Restoran berkenaan, dikenali sebagai Haveli Indian Restaurant, kini ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan kerja pembersihan oleh pasukan Hazmat dan paramedik khas.







#kebocoran gas #restoran #karbon monoksida #keracunan