Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Seorang maut, lima cedera dalam nahas belon udara panas di Belanda

Astro Awani 14/08/2025 | 07:40 MYT
Siasatan awal mendapati angin kencang secara tiba-tiba telah menyebabkan belon hilang kawalan, mengakibatkan bakul belon melantun dan lima penumpang tercampak keluar. -Gambar hiasan/Pixabay
AMSTERDAM: Seorang maut manakala lima lagi cedera selepas sebuah belon udara panas yang membawa 34 penumpang terhempas di kawasan padang rumput berhampiran perkampungan De Hoeve, wilayah Friesland di utara Belanda, malam Rabu.


Ringkasan AI
  • Sebuah belon udara panas yang membawa 34 penumpang terhempas di Friesland, Belanda akibat angin kencang, menyebabkan seorang maut dan lima cedera.
  • Belon jenis Cameron Z-750 itu melantun beberapa kali sebelum berhenti, dengan pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian.
  • Siasatan penuh sedang dijalankan oleh polis penerbangan Belanda untuk mengenal pasti punca sebenar insiden.


Menurut pihak berkuasa Friesland, insiden berlaku sekitar pukul 9 malam waktu tempatan apabila belon tersebut turun secara mendadak dan menghentam tanah dengan kuat.

Siasatan awal mendapati angin kencang secara tiba-tiba telah menyebabkan belon hilang kawalan, mengakibatkan bakul belon melantun dan lima penumpang tercampak keluar.

Pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi dengan 14 ambulans, dua helikopter perubatan, pasukan perubatan mudah alih dan anggota Palang Merah.

Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima lagi dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Keadaan semasa mangsa yang cedera belum didedahkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut Persatuan Aeronautik Diraja Belanda (KNVvL), belon jenis Cameron Z-750 itu berlepas dari Joure sekitar pukul 8 malam dan merupakan antara belon terbesar yang masih beroperasi di negara tersebut.

Ketika mendarat, belon dikatakan mengalami peningkatan kelajuan secara mendadak akibat hembusan angin, menyebabkan ia melantun beberapa kali sebelum berhenti.

Polis penerbangan Belanda kini menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Saksi kejadian memaklumkan bahawa belon tersebut kelihatan turun dengan laju dan melantun tinggi sebelum terhempas semula ke tanah.








#belon udara panas #terhempas di Friesland Belanda #angin kencang #Cameron Z-750