Seorang renjer maut, tiga cedera dalam dua insiden letupan bom di Pattani

Bernama
Mei 1, 2019 22:16 MYT
Dua insiden letupan berasingan berlaku di Pattani, selatan Thailand dalam tempoh 48 jam.
Seorang renjer maut manakala tiga anggota skuad pemusnah bom cedera dalam dua insiden letupan berasingan di Pattani, selatan Thailand dalam tempoh 48 jam.
Timbalan Ketua Polis Siasatan Jenayah Daerah Panare, Kapt. Pol. Norawich Thongsod berkata dalam kejadian pertama, kira-kira 10.20 pagi (waktu tempatan) Rabu, mangsa yang dikenali sebagai Damrong Thong-u, 34, mati di tempat kejadian.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa bersama lima lagi rakan sedang menjalankan rondaan di Kg Rawor, Daerah Panare, Pattani.
"Siasatan awal polis mendapati bom buatan sendiri itu meletup dengan diaktifkan oleh bateri," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kedua, kira-kira 9 pagi (waktu tempatan) Selasa, tiga anggota skuad pemusnah bom cedera apabila dua butir bom meletup di Nong Chik, Pattani.
Skuad pemusnah bom berada di tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan berikutan letupan berlaku yang berlaku pada malam Isnin.
-- BERNAMA
#bom #bom buatan sendiri #cedera #jenayah #letupan #mangsa #mati #maut #Norawich Thongsod #Pattani #polis #renjer #rondaan #siasatan #skuad pemusnah bom #Thailand