Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Seorang terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

Bernama 18/11/2025 | 12:37 MYT
Tentera Israel telah membunuh lebih 4,000 orang dan mencederakan hampir 17,000 yang lain dalam serangan ke atas Lubnan, yang bermula pada Oktober 2023 dan bertukar menjadi serangan berskala penuh pada September 2024. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Seorang individu terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah kenderaan di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan pada Selasa, dalam insiden terbaharu pelanggaran perjanjian genjatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

Agensi berita nasional NNA melaporkan bahawa Kementerian Kesihatan memaklumkan mangsa merupakan seorang pegawai kesatuan perbandaran di Bint Jbeil.

Tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh tentera Israel berhubung serangan itu.

Ketegangan di selatan Lubnan semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu, dengan tentera Israel meningkatkan serangan udara hampir setiap hari di wilayah Lubnan, yang didakwa menyasarkan anggota dan infrastruktur Hizbullah.

Tentera Israel telah membunuh lebih 4,000 orang dan mencederakan hampir 17,000 yang lain dalam serangan ke atas Lubnan, yang bermula pada Oktober 2023 dan bertukar menjadi serangan berskala penuh pada September 2024.

Di bawah genjatan senjata yang diumumkan pada November 2024, tentera Israel sepatutnya berundur dari selatan Lubnan pada Januari lalu namun hanya mengundurkan sebahagian pasukannya dan terus mengekalkan kehadiran ketenteraan di lima pos sempadan.

-- BERNAMA
#Terbunuh #serangan Israel #selatan Lubnan #Bint Jbeil