Seorang terbunuh, lebih 100 cedera dalam protes antikerajaan di Peru

Seorang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera semasa protes antikerajaan di Lima, ibu negara Peru. - Foto REUTERS
MOSCOW: Seorang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera semasa protes antikerajaan di Lima, ibu negara Peru, menurut Pejabat Ombudsman negara itu pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Ringkasan AI
- Satu maut dan lebih 100 cedera dalam protes antikerajaan di Lima, Peru yang menuntut Presiden Jose Jeri meletak jawatan dan memansuhkan undang-undang berkaitan jenayah.
- Pejabat Ombudsman Peru melaporkan 102 mangsa cedera termasuk 24 orang awam dan 78 anggota polis, manakala 10 individu ditahan.
- Protes tercetus susulan krisis jenayah semakin buruk di Peru dan ketidakstabilan politik selepas pemecatan Presiden Dina Boluarte.
"Saya sedih untuk memaklumkan tentang kematian seorang warga dalam satu insiden yang akan disiasat," kata pegawai Pejabat Ombudsman, Fernando Lozada, kepada stesen radio RPP.
Apabila ditanya sama ada mangsa ditembak, Lozada berkata perkara itu masih dalam siasatan, menurut laporan RPP.
"Setakat ini, kakitangan Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia melaporkan bahawa 102 orang yang cedera telah dimasukkan ke hospital... termasuk 24 orang awam dan 78 anggota polis," menurut kenyataan Pejabat Ombudsman di platform X.
Pejabat itu menambah bahawa 10 individu telah ditahan.
Pada 10 Okt lalu, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Kongres Peru susulan keputusan memecat Presiden Dina Boluarte. Bekas Ketua Kongres Jose Jeri kemudiannya mengambil alih jawatan presiden.
Peru berdepan krisis jenayah yang semakin memburuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang dibelengggu oleh kejadian pembunuhan, rompakan, pemerasan dan ugutan terhadap perniagaan kecil oleh kumpulan penjenayah. Keadaan keselamatan yang semakin merosot itu telah berulang kali mendorong rakyat turun ke jalanan bagi mengadakan mogok dan tunjuk perasaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami