SEPANYOL mengumumkan negara itu akan membenarkan kedatangan pelancong dari Britain bermula Ahad tanpa kuarantin selama dua minggu.

Bagaimanapun, situasi berbeza di Britain yang masih mengamalkan langkah kuarantin dua minggu bagi pelancong yang masuk ke negaranya.

Menteri Luar Negeri Sepanyol, Arancha Gonzalez Laya berkata, mereka akan membenarkan pelawat Britain memasuki Sepanyol sama seperti kawasan Kesatuan Eropah bermula 21 Jun tanpa kuarantin.

Sepanyol akan mengakhiri perintah darurat COVID-19 yang dilaksanakan sejak 14 Mac bermula Ahad dan membuka sempadannya ke negara-negara EU lain dalam usaha merangsang semula sektor pelancongan.

Bagaimanapun, Gonzalez Laya berkata, pelancong Britain perlu menjalani pemeriksaan tiga kali iaitu pemeriksaan latar belakang, pengambilan suhu dan maklumat mereka jika perlu dikesan.

Sepanyol masih dalam perbincangan mengenai sama ada UK akan mengambil langkah membatalkan langkah kuarantin untuk warga Sepanyol.

Warga Britain menyumbang lebih daripada satu perlima daripada kira-kira 80 juta pelancong yang diterima Sepanyol setiap tahun.

Britain merekodkan lebih daripada 42,000 kematian akibat coronavirus dan Sepanyol, dengan lebih dari 28,000 adalah antara negara yang paling teruk dilanda COVID-19.

Sepanyol akan membuka sempadannya dengan Portugal pada 1 Julai.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, dalam ucapan terakhir mingguannya yang disiarkan di televisyen sebelum berakhirnya keadaan darurat memberi amaran kepada warga Sepanyol agar tidak alpa kerana virus itu boleh kembali.

Sepanyol melaksanakan penutupan ketat di Eropah selama dua bulan.