DUNIA
Sepanyol gesa EU hentikan penjualan senjata kepada Israel
Kesatuan Eropah (EU) digesa supaya mengenakan larangan penjualan senjata kepada Israel bagi menamatkan konflik di Gaza. - Gambar fail/ Reuters
MADRID: Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya mengenakan larangan penjualan senjata ke atas Israel sebagai langkah untuk menamatkan konflik berterusan di Gaza.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares menggesa Kesatuan Eropah (EU) supaya mengenakan larangan penjualan senjata kepada Israel bagi menamatkan konflik di Gaza, memandangkan EU merupakan rakan dagang terbesar Israel.
- Albares turut menyeru agar ketegangan antara Israel dan Iran dihentikan serta menekankan penyelesaian isu nuklear Iran melalui rundingan diplomatik.
- Sejak serangan semula Israel pada 18 Mac, lebih 5,000 rakyat Palestin terbunuh, menjadikan jumlah korban sejak Oktober 2023 mencecah lebih 55,000 orang, dengan lebih 128,000 lagi cedera.
Dalam temu bual bersama Bloomberg TV pada Selasa, Albares menegaskan bahawa EU sebagai rakan dagang terbesar Israel di peringkat global mempunyai pengaruh yang besar terhadap negara itu.
"Blok ini mesti mengenakan sekatan senjata supaya negara-negara Eropah tidak menjual senjata kepada Israel selama perang ini masih berterusan," katanya.
Albares merupakan antara pengkritik lantang terhadap konflik di Gaza dan penyokong tegar penyelesaian dua negara.
Mengulas konflik terbaharu antara Israel dan Iran, Albares menyeru kedua-dua pihak supaya meredakan ketegangan.
"Ketika ini, kita perlu menghentikan serangan peluru berpandu dan bom antara Israel dan Iran dan memastikan isu berkaitan program nuklear Iran diselesaikan dengan baik, serta Iran menjauhi pembangunan senjata nuklear melalui rundingan diplomatik," katanya.
Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, sekurang-kurangnya 5,139 rakyat Palestin terbunuh dan 16,882 lagi cedera sejak Israel melancarkan semula serangan besar-besaran pada 18 Mac.
Angka itu menjadikan jumlah korban sejak Oktober 2023 mencecah 55,432 orang, manakala 128,923 lagi cedera.
-- BERNAMA