Sepanyol isytihar berkabung tiga hari susulan nahas tren berkelajuan tinggi

Dua gerabak tren Alvia terjunam ke bawah benteng setinggi empat meter, menyukarkan usaha menyelamat. - Foto AP
ISTANBUL: Perdana Menteri Sepanyol pada Isnin mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari selepas sekurang-kurangnya 39 orang maut dalam kemalangan melibatkan dua tren berkelajuan tinggi di wilayah Cordoba di selatan negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Lebih 100 yang lain turut cedera dalam kejadian berhampiran bandar Adamuz itu, menurut pihak berkuasa pada Isnin.
Pedro Sanchez mengumumkan bahawa tempoh tiga hari berkabung bermula malam tadi dan berikrar bahawa pihak berkuasa akan menyiasat punca kejadian, menurut penyiar RTVE.
"Kami akan mencari kebenaran, kami akan mendapatkan jawapannya, dan apabila ia diketahui, kami akan memaklumkannya kepada orang ramai dengan penuh ketelusan dan kejelasan," katanya.
Jawatankuasa Siasatan Kemalangan Kereta Api dilaporkan telah melancarkan siasatan berhubung insiden itu.
Kejadian berlaku sekitar 7.40 malam waktu tempatan pada Ahad (1840GMT) apabila sebuah tren dari Malaga ke Madrid tergelincir berhampiran Adamuz dan memasuki laluan bersebelahan.
Insiden itu menyebabkan sebuah lagi tren yang menuju ke selatan dari Madrid ke Huelva turut tergelincir.
Menurut pihak berkuasa wilayah, dua gerabak tren Alvia terjunam ke bawah benteng setinggi empat meter, menyukarkan usaha menyelamat, lapor El Pais.
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan lima mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala 24 lagi termasuk empat kanak-kanak mengalami kecederaan serius. Lebih 120 orang pula mengalami kecederaan ringan hingga sederhana.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


