DUNIA

Sepanyol rancang beri status sah kepada 500,000 migran tanpa dokumen

Astro Awani 27/01/2026 | 22:50 MYT
Sebuah kapal Pengawal Pantai Sepanyol menunda bot gentian kaca yang membawa migran ke pelabuhan Arguineguin di pulau Gran Canaria, Sepanyol. - Foto fail/REUTERS
MADRID: Kerajaan Sepanyol merancang untuk memberikan status sah kepada kira-kira 500,000 migran tanpa dokumen menerusi satu langkah luar biasa yang dilihat sebagai usaha menangani realiti sosial sedia ada serta menyokong keperluan ekonomi negara itu.

Menurut Menteri Migrasi, Elma Saiz, langkah berkenaan akan dilaksanakan melalui satu dekri diraja yang dijangka berkuat kuasa mulai April 2026, sekali gus mempercepatkan proses pemberian permit tinggal kepada golongan terbabit.

Beliau berkata, migran yang layak ialah mereka yang telah menetap di Sepanyol sekurang-kurangnya lima bulan sehingga akhir 2025 dan tidak mempunyai rekod jenayah, selain pemohon suaka yang telah mengemukakan permohonan sebelum tarikh berkenaan.

Anggaran kerajaan menunjukkan kira-kira setengah juta individu, kebanyakannya dari Amerika Latin, berpotensi mendapat manfaat daripada langkah tersebut, yang turut membolehkan mereka bekerja secara sah di negara itu.

Saiz menyifatkan keputusan itu sebagai langkah penting bagi menjamin hak dan kepastian undang-undang kepada golongan yang telah lama menetap di Sepanyol, selain menyumbang kepada integrasi sosial dan pertumbuhan ekonomi.

Langkah berkenaan turut dilihat berbeza daripada pendekatan lebih ketat yang diambil oleh beberapa negara Eropah lain terhadap isu migrasi, ketika Sepanyol berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja dan perubahan demografi.

Bagaimanapun, rancangan itu menerima kritikan daripada parti pembangkang konservatif dan kumpulan sayap kanan, yang mendakwa ia berisiko menggalakkan kemasukan migran tanpa izin serta memberi tekanan kepada perkhidmatan awam.

Sepanyol sebelum ini pernah melaksanakan beberapa program regularisasi migran, dengan kerajaan menegaskan pendekatan itu terbukti memberi kesan positif kepada ekonomi dan pasaran pekerjaan negara tersebut.






#status sah #migran tanpa dokumen #dekri diraja #Elma Saiz