GENEVA: Sepanyol secara rasmi menamatkan perkhidmatan Duta Besarnya ke Israel, Ana Salomon, beberapa bulan selepas beliau dipanggil pulang ke Madrid berikutan pertikaian diplomatik dengan kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Keputusan itu disiarkan pada Rabu dalam warta rasmi kerajaan Sepanyol, yang mengesahkan penamatan perkhidmatan Salomon telah diluluskan oleh Majlis Menteri pada Selasa atas cadangan Menteri Luar, Jose Manuel Albares.
Advertisement
Salomon telah berkhidmat sebagai Duta Besar Sepanyol ke Israel sejak Julai 2021 namun dipanggil pulang untuk rundingan pada September selepas ketegangan memuncak antara kedua-dua kerajaan.
Keputusan itu dibuat susulan ketegangan diplomatik yang memuncak, berpunca daripada kenyataan Perdana Menteri, Pedro Sanchez yang mengumumkan langkah bagi menghentikan genosid di Gaza.
Susulan pengumuman tersebut, kerajaan Israel telah mengambil tindakan yang disifatkan oleh Madrid sebagai “tuduhan fitnah” serta “tindakan tidak boleh diterima” terhadap Menteri Buruh Sepanyol, Yolanda Diaz dan Menteri Belia, Sira Rego.
Dengan penamatan khidmat duta tersebut, kedutaan Sepanyol di Israel kini akan diketuai oleh seorang kuasa usaha sehingga Madrid memutuskan untuk melantik duta baharu.
Hubungan antara kedua-dua negara kekal tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Israel kini juga tidak mempunyai duta di Madrid, dengan kedutaannya diketuai oleh seorang kuasa usaha selepas utusan terdahulu meninggalkan jawatan itu pada 2024, susulan pengiktirafan Madrid terhadap negara Palestin.
Mana-mana bakal duta Sepanyol kelak memerlukan kelulusan daripada kerajaan Israel sebelum memegang jawatan tersebut.
-- BERNAMA-ANADOLU