DUNIA

Sepanyol tarik diri dari Eurovision 2026 jika Israel bertanding

Agensi 16/09/2025 | 22:10 MYT
Penyiar awam Sepanyol, RTVE, mengumumkan negara itu akan menarik diri daripada pertandingan Eurovision 2026 sekiranya Israel dibenarkan untuk terus bertanding dalam acara tersebut di Vienna, Austria pada Mei tahun depan.
MADRID: Penyiar awam Sepanyol, RTVE, mengumumkan negara itu akan menarik diri daripada pertandingan Eurovision 2026 sekiranya Israel dibenarkan untuk terus bertanding dalam acara tersebut yang dijadual berlangsung di Vienna, Austria pada Mei tahun depan.

Keputusan itu menjadikan Sepanyol sebagai negara pertama dalam kumpulan 'Big Five' - turut dianggotai oleh Britain, Jerman, Perancis dan Itali yang mengambil pendirian tegas terhadap penyertaan Israel dalam pertandingan muzik tahunan itu.

Menurut kenyataan rasmi RTVE, keputusan itu dibuat menerusi undian 10 menyokong, empat menentang dan satu berkecuali dalam mesyuarat lembaga pengarahnya yang berlangsung pada Selasa.

“Langkah ini diambil sebagai tindak balas terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan keengganan Israel untuk menghentikan operasi ketenteraan,” kata Presiden RTVE, Jose Pablo Lopez, yang mencadangkan usul tersebut.

Tindakan Sepanyol menyusul selepas Ireland, Belanda, Slovenia dan Iceland turut menyatakan hasrat untuk menarik diri sekiranya Israel terus dibenarkan bertanding.

Menteri Kebudayaan Sepanyol, Ernest Urtasun menyokong penuh keputusan itu dan menyifatkan penyertaan Israel sebagai cubaan untuk 'memutihkan jenayah kemanusiaan' melalui acara kebudayaan.

“Sekiranya EBU (Kesatuan Penyiaran Eropah) gagal bertindak, Sepanyol mesti mengambil pendirian sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez turut menyuarakan pendirian tegas bahawa Israel tidak sepatutnya dibenarkan menyertai sebarang pertandingan antarabangsa selagi konflik di Gaza berterusan.

Sementara itu, penyanyi Austria JJ, yang memenangi Eurovision 2025, turut menyatakan sokongan terhadap pengecualian Israel daripada edisi 2026, menyifatkan kehadiran negara itu sebagai 'mengecewakan'.

EBU dijangka membuat keputusan muktamad mengenai penyertaan Israel dalam mesyuarat agungnya pada Disember ini, dengan tarikh akhir bagi negara anggota untuk menarik diri tanpa penalti kewangan ditetapkan pada pertengahan bulan tersebut.





#sepanyol #ugut boikot #Eurovision #Israel ambil bahagian