DUNIA

Sepanyol tegas sokong NATO, tolak sasaran perbelanjaan pertahanan 5 peratus

Bernama 26/06/2025 | 02:20 MYT
Pedro Sanchez bercakap pada sidang media selepas hadir sesi plenari sidang kemuncak NATO di The Hague, Belanda, 25 Jun 2025. (Foto AP)
GENEVA: Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez mengulangi komitmen negaranya terhadap matlamat pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), namun menolak sasaran baharu perbelanjaan pertahanan sebanyak lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dipersetujui pakatan itu.
"Sepanyol akan mematuhi keupayaan yang dipersetujui dalam tempoh masa yang ditetapkan seperti yang kami lakukan sebelum ini," kata Sanchez dalam sidang media di The Hague pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau menyifatkan Sepanyol sebagai sebuah negara yang "serius dan menepati komitmen," sambil menjelaskan bahawa negara itu sedang melaksanakan pelan perindustrian dan teknologi pertahanan serta keselamatan di peringkat nasional.
Di bawah pelan itu, Sepanyol menyasarkan untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan kepada dua peratus daripada KDNK menjelang 2029.
Ketika ini, perbelanjaan pertahanan Sepanyol dianggarkan sekitar 2.1 peratus, yang menurut Sanchez selari dengan matlamat keupayaan teknikal dan sumber manusia NATO.
Beliau menegaskan pendekatan Sepanyol bukan semata-mata berasaskan angka, sebaliknya memberi keutamaan kepada sumbangan sebenar terhadap keupayaan pertahanan.
"Isunya bukan berapa banyak yang kita belanjakan, tetapi apakah keupayaan sebenar yang kita sumbangkan untuk menangani cabaran yang dihadapi pakatan ini," katanya.
Sanchez turut menekankan peranan operasi Sepanyol di sayap timur NATO, yang menyaksikan hampir 3,000 tentera Sepanyol ditempatkan di kawasan itu -- menggambarkan komitmen negara yang "kukuh dan berterusan."
Beliau menyambut baik sikap fleksibel NATO yang membenarkan negara anggota menentukan pendekatan masing-masing dalam memenuhi sasaran keupayaan.
Mengulas pengumuman Setiausaha Agung NATO Mark Rutte, Sanchez berkata deklarasi akhir sidang kemuncak itu memberi ruang kepada Sepanyol untuk menetapkan halatuju dan peruntukan tahunan berdasarkan perancangan nasional.
Kenyataan Sanchez itu hadir selepas NATO pada Rabu meluluskan sasaran baharu untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus KDNK menjelang 2035.
Sasaran itu merangkumi sekurang-kurangnya 3.5 peratus untuk keupayaan ketenteraan utama dan sehingga 1.5 peratus bagi bidang lain seperti perlindungan infrastruktur, keselamatan siber dan inovasi.
Dalam deklarasi akhir sidang kemuncak, NATO menyatakan bahawa sasaran pelaburan lima peratus itu bertujuan memperkukuh pencegahan dan menghadapi ancaman berterusan dan keganasan.
-- BERNAMA
#NATO #sepanyol #perbelanjaan pertahanan #Pedro Sanchez