Pasukan Saintis Australia pada Rabu mendedahkan bahawa hanya 7 peratus daripada keseluruhan terumbu karang Great Barrier, yang menjana pulangan industri pelancongan tahunan bernilai AUS$5 bilion, masih 'dara' dan langsung belum terkena tempias fenomena kelunturan karang.

Sedangkan selebihnya pula sudah terjejas dengan masalah tersebut, sama ada secara sederhana atau dahsyat.

Kelunturan karang berlaku apabila alga unik yang menjadikan karang sebagai habitat, mati kerana peningkatan suhu laut. Alga hidup itulah yang menghasilkan warna kepada karang dan berkembang menjadi struktur kompleks dan pelbagai.

Karang masih boleh pulih jika kelunturan dialami pada paras sederhana dan suhu laut kembali normal, namun ia akan mati jika situasi menjadi lebih buruk.

“Kami tidak pernah menyaksikan skala kelunturan sebegini teruk. Di bahagian utara Great Barrier, ia bagaikan dilanda 10 taufan serentak,” ujar Prof Terry Hughes yang mengetuai Pasukan Khas Kelunturan Karang Nasional, seperti yang dilaporkan Reuters.

Beliau yang dukacita dengan masalah yang terjadi di Tapak Warisan Dunia itu menambah, pasukannya meramalkan separuh daripada keseluruhan terumbu karang itu ‘mati atau hampir mati’,” ujar Hughes.

Terumbu karang Great Barrier Reef yang menghampar 2,300 km sepanjang pesisiran sebelah utara Australia merupakan ekosistem hidup terbesar dunia.

Walaupun kesannya bertambah buruk kerana fenomena El Nino terkuat dalam tempoh 20 tahun, para saintis percaya perubahan iklim adalah pencetus berterusan bagi masalah kelunturan.

Australia merupakan salah satu daripada pengeluar karbon terbesar per kapita, antaranya disebabkan kebergantungan kepada loji janakuasa bahan api arang.

Meskipun pernah berikrar untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon, negara itu masih terus menyokong projek-projek bahan api fosil, termasuk sebuah syarikat yang bernilai berbilion-bilion dolar di barat Queensland.

Laporan tersebut ternyata memberi tekanan tambahan kepada Perdana Menteri Malcolm Turnbull yang bakal berdepan pilihan raya persekutuan pada Julai nanti.