GAZA: Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan separuh daripada hospital di Semenanjung Gaza tidak lagi beroperasi selepas alami kerosakan akibat bedilan bom dan serangan rejim Israel.

Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaila juga berkata, perangkaan terkini kementerian itu merekodkan lebih 10,500 orang terbunuh di Gaza.

Tambahnya, jumlah kematian itu termasuk dengan 192 pekerja perubatan dan 36 penyelamat yang terkoban dalam misi bantuan dan menyelamat.

"Setakat ini, terdapat 192 syuhada dalam kalangan kru perubatan dan 36 dalam kalangan kru penyelamat, dan berpuluh-puluh syuhada dalam kalangan kakitangan organisasi antarabangsa.

"50 ambulans telah diserang, 40 daripadanya telah hilang sepenuhnya perkhidmatan. 18 daripada 35 hospital tidak boleh beroperasi lagi akibat dibom seperti Hospital Beit Hanoun atau Hospital al-Ahli kerana telah kehabisan bahan api," katanya.

Beliau juga berkata, peperangan yang bermula 7 Oktober lalu di dalam Israel dan kini memasuki bulan kedua, menyebabkan krisis kemanusiaan yang semakin mengerikan di dalam kawasan Palestin yang terkepung dan tiada penghujungnya.

Sementara itu, wakil UNFPA Dominic Allen berkata gencatan senjata segera disokong oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi utamanya.

Tambahnya 89 petugas dari agensi PBB untuk pelarian Palestin (URWA) terkorban menjadikannya sebagai rekod kehilangan nyawa tertinggi dalam satu operasi dalam sejarah badan dunia itu.