DUNIA

Seperti ASEAN, BRICS juga harus tingkatkan perdagangan sesama anggota – PM Anwar

Firdaus Azil 05/07/2025 | 14:15 MYT
Anwar berkata, BRICS harus berbicara dengan kekuatan ekonomi dan negara bebas dan berdaulat, bukan sebagai negara bekas jajahan yang lemah. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR : Sudah tiba masanya untuk Forum Kerjasama BRICS meningkatkan perdagangan sesama negara anggota, seperti mana yang dilakukan oleh ASEAN, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, penyertaan komuniti perniagaan dan sektor swasta dalam BRICS sangat menakjubkan, sekali gus mewujudkan peluang yang luas untuk menyuburkan konsep multilateralisme dalam kalangan negara anggota.

Dengan konsep kepusatan atau tidak berpihak kepada-mana, Anwar berkata, BRICS harus berbicara dari sudut kekuatan ekonomi dan negara yang bebas dan berdaulat, bukan lagi dari kedudukan negara bekas jajahan yang lemah.

“Saya percaya dengan percubaan BRICS ini, ia akan menjadi kejayaan yang signifikan, yang mampu mengubah sejarah manusia. Saya ucapkan terima kasih kepada usaha ini.

“Saya datang dari Malaysia dan dalam ASEAN, kami membincangkan isu-isu ini. Pertama, kita mesti bersatu padu. Kita mesti bersuara sebagai satu suara berdasarkan pendekatan multilateralisme.

“Kita mesti cuba mempromosikan prinsip kepusatan, bersahabat dengan semua pihak dan menyokong perjuangan yang adil. Tetapi ia tidak lagi cukup dengan retorik dan kenyataan politik semata-mata — ia mesti diterjemahkan melalui tindakan konkrit.

“Sebab itu, apabila salah satu tonggak dalam ASEAN ialah komuniti perniagaan, kita mesti meningkatkan perdagangan intra-ASEAN. Kini kita juga mesti meningkatkan perdagangan intra-BRICS. Kita mempunyai potensi besar untuk berkembang, kerana hanya dengan kekuatan itu kita dapat berunding secara selamat, adil dan saksama dengan semua rakan lain secara multilateral,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan BRICS di Rio De Janeiro, sempena lawatan tiga hari beliau ke Brazil yang bermula pada Sabtu.

Dalam pada itu Anwar berkata, dengan peningkatan perdagangan sesama anggota, maka BRICS akan mempunyai kekuatan untuk berunding dengan rakan dagang dari blok ekonomi lain secara adil dan saksama secara multilateral.

“Kita mesti menuntut perubahan — sebuah organisasi antarabangsa dan multilateral yang demokratik dan adil — daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia,” tegasnya.

Menyentuh mengenai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika, Anwar berkata, selain memperkukuh perdagangan antarabangsa, ASEAN telah mula menggunakan sistem penyelesaian kewangan yang melibatkan mata wang tempatan.

“Sudah tentu, kita tidak bercakap tentang ‘de-dolarisasi’ sepenuhnya kerana perjalanan itu masih panjang, tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba.

“Malaysia bersama Indonesia, Malaysia bersama Thailand, dan juga dengan China — kami berusaha menggunakan mata wang tempatan kami sendiri. Walaupun hanya bermula dengan 10 atau 20 peratus, ia tetap membawa kesan,” katanya.


#Anwar Ibrahim #BRICS #multilateralisme #ekonomi global