LONDON: Suhu purata global pada September 2026 mencecah 16.27 darjah Celsius, menjadikannya bulan September kedua terpanas pernah direkodkan, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Copernicus pada Isnin memaklumkan bahawa bulan lalu juga merupakan bulan kedua berturut-turut tahun ini yang mencatatkan suhu global melebihi 1.5 darjah Celsius berbanding paras praindustri.
September tahun ini menyamai rekod bulan September terpanas di Eropah Barat, manakala keseluruhan Eropah mencatatkan September ketiga terpanas.
Keadaan kering yang berpanjangan menyebabkan aliran sungai pada September mencatatkan paras terendah dalam rekod di beberapa bahagian Sungai Rhine, Danube, Vistula dan Garonne-Dordogne.
Menurut Copernicus, paras air sungai yang rendah turut mengganggu aktiviti pelayaran, bekalan air dan pertanian di beberapa negara.
Sementara itu, keluasan ais laut di sekitar Antartika pada tahap maksimum musim sejuk tahun ini pula merupakan yang ketiga terendah dalam rekod.
Pengarah Copernicus Carlo Buontempo berkata beberapa kawasan di Eropah sekali lagi mengalami "suhu luar biasa tinggi" selepas musim panas yang ekstrem.
"Kita kini memasuki satu lagi tempoh beberapa bulan dengan suhu melebihi 1.5 darjah Celsius dan dengan fenomena El Niño yang kuat serta terus meningkat, keadaan ini berkemungkinan berlanjutan hingga 2027.
“Hanya soal masa sebelum pemanasan global melepasi ambang 1.5 darjah Celsius yang digariskan dalam Perjanjian Paris,” kata beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata sejauh mana suhu akan melebihi had itu dan berapa lama keadaan berkenaan berterusan masih bergantung kepada tindakan manusia.
Pada 2015, sekitar 195 pihak menerima pakai Perjanjian Paris yang mengikat dari segi undang-undang bagi mengehadkan pemanasan global kepada kurang daripada dua darjah Celsius berbanding paras praindustri, dengan sasaran ideal 1.5 darjah Celsius.
-- BERNAMA-dpa