Skip to main content

Dunia

September kemuncak El Nino, 'medan pertempuran' sebenar lawan kebakaran hutan - Menteri Indonesia

WIKIMEDIA
Raja Juli berkata kerajaan menjadikan fenomena El Nino yang teruk pada 2015 sebagai penanda aras, memandangkan kekuatan fenomena tahun ini adalah setara. - Foto Wikimedia
Advertisement

JAKARTA: September ini dilihat bakal menjadi “medan pertempuran” sebenar bagi Indonesia dalam menangani kebakaran hutan dan tanah apabila fenomena El Nino mencapai kemuncaknya.

Hal itu susulan republik tersebut masih berdepan risiko tinggi kebakaran hutan walaupun terdapat penurunan bilangan titik panas hasil usaha pemadaman yang dipergiat sejak sebulan lepas.

Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni berkata kerajaan menjadikan fenomena El Nino yang teruk pada 2015 sebagai penanda aras, memandangkan kekuatan fenomena tahun ini adalah setara, walaupun keluasan kawasan yang terbakar sehingga Julai adalah sekitar 202,004 hektar berbanding kira-kira 600,000 hektar bagi tempoh yang sama pada 2015.

"September ialah puncak El Nino. Alhamdulillah sekali lagi trennya (titik panas) menurun, harus kita pertahankan. Tetapi waspada, harus sangat waspada kerana September bagi saya ialah ‘medan pertempuran’ sebenar.

“Kita belum bebas daripada ancaman EL Nino ini. Kita belum bebas sepenuhnya,” katanya dalam sidang media dalam talian pada Selasa, menambah bahawa angka kawasan terbakar pada Ogos masih dalam proses pengiraan, termasuk menerusi pemeriksaan dron bagi memastikan ketepatan.

Raja Juli berkata lima langkah akan kekal menjadi tumpuan utama usaha kerajaan pada September iaitu operasi pengubahsuaian cuaca (OMC), pengeboman air, pemadaman kebakaran di darat, penguatkuasaan undang-undang dan peningkatan kesedaran orang ramai.

Kerajaan Indonesia telah mengerahkan 53 aset udara untuk tujuan rondaan, OMC dan pengeboman air dengan bantuan daripada Jepun dijangka diterima, manakala pesawat dari Rusia yang disewa oleh BNPB dijadualkan untuk dikerahkan ke Sumatera Selatan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Berhubung aspek penguatkuasaan, Raja Juli memaklumkan bahawa pihak polis telah menamakan 89 suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah, sementara Kementerian Perhutanan sedang memproses 30 kes jenayah dan telah mengeluarkan amaran kepada 52 pemegang permit perniagaan penggunaan hutan (PBPH), dengan enam daripadanya telah dikenakan tindakan tegas.

Beliau menegaskan Indonesia akan meneruskan usaha untuk meminimumkan kesan jerebu rentas sempadan terhadap negara-negara jiran.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement