Sepuluh maut, 30 cedera dalam kebakaran hotel kasino di Kemboja

Bernama
Disember 29, 2022 07:32 MYT
Kebakaran dilaporkan berlaku di hotel kasino Grand Diamond City pada tengah malam Rabu, menurut Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran.- Sumber foto FB Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran Kemboja
PHNOM PENH: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala 30 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah hotel kasino di wilayah Banteay Meanchey, Kemboja menurut jurucakap polis pada Khamis.
"Angka berkenaan adalah berdasarkan maklumat awal kerana operasi menyelamat masih belum selesai," kata Timbalan Ketua Polis Negara Lt Jen Chhay Kim Khoeun kepada Xinhua.
Jumlah sebenar mangsa akan dikemas kini apabila operasi menyelamat tamat.
Kebakaran dilaporkan berlaku di hotel kasino Grand Diamond City pada tengah malam Rabu, menurut Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran.
Rakaman yang disiarkan di laman Facebook Jabatan Polis Pencegahan dan Penyelamat Kebakaran menunjukkan beberapa orang bertindak terjun ke bawah untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, dan operasi menyelamat masih diteruskan setakat 7.00 pagi waktu tempatan pada Khamis.
Hotel kasino itu dilaporkan menggaji lebih 400 pekerja.
-- BERNAMA
#Kemboja #hotel kasino #kebakaran #Grand Diamond City