DUNIA
Serangan baharu bakal dilancar, Israel arah penduduk Tehran kosongkan kawasan
Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat selepas Israel melancarkan serangan udara serentak ke atas beberapa lokasi strategik di Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, sebelum disusuli serangan balas dari Tehran. - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Tentera Israel mengarahkan penduduk di Daerah 3, Tehran yang menempatkan pejabat-pejabat kementerian dan kedutaan asing untuk segera mengosongkan kawasan itu susulan serangan udara baharu yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Ringkasan AI
- Israel mengarahkan penduduk Daerah 3, Tehran berpindah susulan serangan udara baharu terhadap sasaran ketenteraan Iran.
- Iran membalas dengan mengarahkan penduduk Tel Aviv berpindah kerana turut merancang serangan ke Israel.
- Pertempuran antara Israel dan Iran telah meragut ratusan nyawa dan mencederakan ribuan orang di kedua-dua negara.
Menurut laporan portal AA, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan mereka akan menyerang struktur ketenteraan milik Iran dalam beberapa jam akan datang.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan dalam bahasa Parsi, IDF menjelaskan operasi ketenteraan itu akan diteruskan di seluruh kawasan Tehran, sebagaimana yang dilakukan sejak beberapa hari lalu.
"Justeru, penduduk diminta berwaspada dan meninggalkan kawasan terlibat kerana kehadiran mereka dikhuatiri mengundang risiko kepada keselamatan nyawa masing-masing," kata kenyataan itu di sini, pada Isnin.
Arahan pemindahan tersebut merupakan yang pertama dikeluarkan kepada penduduk Tehran sejak tercetusnya ketegangan susulan serangan balas antara Israel dan Iran pada Jumaat lalu.
Tidak lama selepas amaran itu dikeluarkan, Iran tidak berdiam diri, memetik laporan Reuters, pengawai Resolusi Islam Iran (IRGC) turut memberi amaran kepada penduduk di Tel Aviv untuk berpindah secepat mungkin.
Ini disebabkan beberapa serangan turut akan dilakukan ke atas Tel Aviv.
Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat selepas Israel melancarkan serangan udara serentak ke atas beberapa lokasi strategik di Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, sebelum disusuli serangan balas dari Tehran.
Pihak berkuasa Israel mendakwa sekurang-kurangnya 24 individu terbunuh manakala ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran sejak Jumaat.
Sementara itu, Iran pula melaporkan bahawa serangan Israel telah meragut sekurang-kurangnya 224 nyawa dan mencederakan lebih 1,000 penduduk di negara itu.