Serangan bom Somalia: Angka maut meningkat kepada 90

Agensi
Disember 28, 2019 13:53 MYT
Menurut saksi kejadian, serangan ini mengingatkan mereka terhadap serangan yang berlaku pada 2017 yang meragut ratusan nyawa. Foto: Reuters
Angka kematian serangan bom kereta di Mogadishu, Somalia meningkat kepada 90 mangsa.
Memetik laporan media antarabangsa, Datuk Bandar Mogadishu, Mohamud Mohamed berkata kebanyakkan mangsa yang maut adalah pelajar.
"Sebuah trak penuh dengan bahan letupan diletupkan di tempat pemeriksaan kawalan yang sibuk. Letupan itu membawa kepada banyak kematian dan kecederaan.
"Angka kematian masih belum disahkan namun angkanya dijangka tinggi dan kecederaan lebih daripada 90 orang.
"Kebanyakan mereka yang terkorban adalah pelajar sekolah dan universiti," katanya.
Serangan tersebut berlaku ketika waktu puncak yang mensasarkan sebuah pusat mengutip cukai.
Menurut saksi kejadian, serangan ini mengingatkan mereka terhadap serangan yang berlaku pada 2017 yang meragut ratusan nyawa.
Setakat ini menurut Pengarah Hospital Medina, Dr Mohamed Yusuf, pihak hospital sudah menerima 73 mayat.
BACA: Puluhan maut dalam serangan bom kereta di Mogadishu - Polis Somalia
Antara yang maut adalah adik-beradik warga Turki.
Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
#Datuk Bandar Mogadishu #pelajar #serangan bom #Somalia