[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Serangan di Bondi: PM Australia sangkal kenyataan Netanyahu

Bernama 15/12/2025 | 21:40 MYT
Albanese (tengah) melawat Bondi Pavilion dan meletakkan jambangan bunga di Pantai Bondi, Sydney. - Foto AP
SYDNEY: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata beliau tidak melihat sebarang kaitan antara serangan maut terhadap satu perayaan Yahudi di Sydney dengan pengiktirafan kerajaan beliau terhadap negara Palestin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Ini merupakan 24 jam yang luar biasa traumatik," kata Albanese kepada penyiar Australia, ABC, pada Isnin. "Tanggungjawab saya adalah untuk memberikan sokongan kepada komuniti Yahudi dan menjelaskan yang rakyat Australia secara keseluruhannya berdiri bersama komuniti Yahudi dalam waktu yang sukar ini."

Majoriti dunia mengiktiraf penyelesaian dua negara sebagai jalan yang tepat ke hadapan, kata Albanese.

Australia secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada September susulan serangan di Gaza. Selepas serangan pada Ahad, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menuduh Australia "menuang minyak ke api anti-Semitik" dan gagal mengambil tindakan tegas terhadap anti-Semitisme.

Polis mengenal pasti seorang lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 24 tahun sebagai bertanggungjawab terhadap insiden tembakan yang mengorbankan 15 orang di Bondi Beach, lokasi tumpuan ramai, semasa sambutan Hanukkah.

Menurut penyiasat, si bapa yang maut ditembak polis adalah ahli sebuah kelab memburu dan mempunyai lesen senjata api.

Anaknya ditahan dan kini dirawat di hospital akibat kecederaan serius. Insiden itu diklasifikasikan sebagai serangan pengganas berunsur anti-Semitik.

--BERNAMA-dpa



TAG: tembakan Bondi Beach, Anthony Albanese, Benjamin Netanyahu, Palestin



#Pantai Bondi #Anthony Albanese #Benjamin Netanyahu #Palestin