Skip to main content

Dunia

Serangan di Riyadh: Aktiviti di Makkah, Madinah berjalan seperti biasa

Aktiviti harian di Makkah dan Madinah dilaporkan berjalan seperti biasa susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi namun gangguan penerbangan masih menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di negara itu serta keluarga mereka di tanah air.
Aktiviti harian di Makkah dan Madinah dilaporkan berjalan seperti biasa susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi namun gangguan penerbangan masih menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di negara itu serta keluarga mereka di tanah air.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Aktiviti harian di Makkah dan Madinah dilaporkan berjalan seperti biasa susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi namun gangguan penerbangan masih menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di negara itu serta keluarga mereka di tanah air.

Mutawif bebas di Makkah Ahmad Saiful Maznan Muhamad berkata setakat ini keadaan di dua kota suci berkenaan kekal seperti biasa manakala urusan ibadah umrah berjalan lancar tanpa sebarang perubahan ketara.

“Jemaah umrah Malaysia yang berada di bawah bimbingan saya sekarang berada dalam keadaan tenang meskipun kebanyakan ahli keluarga mereka di Malaysia bimbang susulan perkembangan keselamatan di rantau Asia Barat.

“Pengurusan perjalanan jemaah umrah ketika ini bergantung pada arahan syarikat penerbangan, khususnya bagi mereka yang menggunakan penerbangan transit atau terjejas akibat penjadualan semula,” katanya ketika dihubungi Bernama Radio dalam program REAKSI dengan topik “Serangan Riyadh: Situasi Semasa di Arab Saudi” hari ini.

Beliau menasihatkan jemaah yang bakal berlepas dalam masa terdekat supaya terus mengikuti maklumat rasmi daripada agensi pelancongan dan syarikat penerbangan masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan perjalanan.

“Bagi jemaah yang masih merancang untuk menunaikan umrah, mereka disaran supaya mempertimbangkan penerbangan terus bagi mengurangkan risiko gangguan perjalanan akibat masalah transit.

“Konsulat Malaysia di Jeddah boleh dihubungi sekiranya jemaah menghadapi masalah, termasuk memerlukan bantuan susulan penundaan jadual penerbangan,” katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang menetap di Riyadh, jururawat Ku Anis Nabila Ku Azman berkata aktiviti harian di bandar raya itu masih berjalan seperti biasa dengan penduduk tempatan dilihat tenang walaupun insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan.

“Saya dapat maklumat mengenai kejadian berkenaan ketika berada di rumah pada hujung minggu menerusi kumpulan WhatsApp komuniti rakyat Malaysia di sini,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui situasi itu menimbulkan kebimbangan, khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia yang merancang untuk pulang ke tanah air dalam masa terdekat berikutan pembatalan dan kelewatan penerbangan.

Beliau turut meminta ahli keluarga di tanah air supaya mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di sana, sambil mengingatkan mereka supaya sentiasa bertenang dan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih.

Serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dilaporkan mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain, menurut kenyataan pada Ahad. 

Pihak berkuasa penerbangan awam sebelum ini memaklumkan operasi lapangan terbang itu digantung sementara susulan serangan berkenaan.

 -- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement