Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Serangan Israel di Lubnan ragut 13 nyawa berhampiran kem pelarian Palestin

Agensi 18/11/2025 | 23:10 MYT
Kenderaan pasukan pertahanan awam berada di pintu masuk Kem Pelarian Palestin Ein el-Hilweh selepas serangan Israel yang mengorbankan beberapa nyawa, di bandar selatan Sidon, Lubnan, pada Selasa. - Gambar Reuters
BEIRUT: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan udara Israel berhampiran kem pelarian Palestin di selatan Lebanon, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Tentera Israel mendakwa, serangan itu menyasarkan anggota kumpulan pejuang Palestin, Hamas yang didakwa beroperasi di sebuah kawasan latihan di Ein el-Hilweh.

Lokasi berkenaan, menurut Israel, digunakan Hamas untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap Israel.

Bagaimanapun, Hamas menolak dakwaan itu sebagai “rekaan dan pembohongan.”

Israel melancarkan serangan udara secara berkala di Lubnan sejak tercapai perjanjian menamatkan konflik dengan kumpulan pejuang Hezbollah yang disokong Iran.

Kebanyakan serangan menyasarkan Hezbollah, namun Hamas turut menjadi sasaran.

Selain 13 yang terkorban, sekurang-kurangnya empat lagi cedera dalam serangan tersebut.

Imej yang tular menunjukkan pasukan kecemasan berada di pintu masuk Ein el-Hilweh, kem pelarian Palestin terbesar di Lubnan.

Rakaman video turut memaparkan ambulans melalui lorong sempit kem yang sesak, sementara asap tebal berkepul dari lokasi serangan.

Laporan awal menyatakan kawasan yang diserang terletak berhampiran sebuah masjid yang lazimnya sibuk pada waktu malam.

Hamas kecam serangan

Sementara itu, Hamas mengecam serangan berkenaan dan menegaskan pihaknya tidak mempunyai kemudahan ketenteraan di kem pelarian Palestin di Lubnan.

Mereka mendakwa, lokasi yang diserang hanyalah “padang sukan terbuka.”

Dalam kenyataan, tentera Israel berkata, langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko korban awam termasuk penggunaan peluru berpandu tepat, pemantauan udara dan maklumat risikan tambahan.

Konflik berlarutan sejak Oktober 2023

Serangan ini berlaku dalam konteks konflik yang bermula selepas Hamas menyerang selatan Israel dari Gaza pada 7 Oktober 2023, mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menawan 251 tebusan.

Tindak balas Israel telah meragut sekurang-kurangnya 69,169 nyawa di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Ketegangan antara Israel dan Hezbollah meningkat selepas kumpulan itu melancarkan roket ke arah kedudukan Israel sehari selepas serangan Hamas.

Konflik berlarutan selama 13 bulan, memuncak dengan kempen pengeboman besar-besaran dan pencerobohan darat Israel ke selatan Lubnan pada Oktober 2024.

Pihak berkuasa Lubnan melaporkan serangan Israel mengorbankan kira-kira 4,000 orang termasuk ramai orang awam, serta menyebabkan lebih 1.2 juta penduduk hilang tempat tinggal.

Israel pula mendakwa lebih 80 askar dan 47 orang awam terbunuh dalam pertempuran. - Agensi
#serangan Israel #Serangan di Lubnan #kem pelarian Palestin #Hamas