DUNIA

Serangan Israel di timur Gaza ragut 11 nyawa

Bernama 18/10/2025 | 06:00 MYT
Sejak Oktober 2023, serangan Israel mengorbankan hampir 68,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - Gambar fail/Reuters
ISTANBUL: Pertahanan Awam Palestin di Gaza pada lewat Jumaat memaklumkan bahawa serangan udara Israel telah mengorbankan 11 ahli keluarga selepas kenderaan mereka disasarkan tanpa amaran di kejiranan al-Zeitoun, timur Bandar Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Serangan udara Israel di al-Zeitoun, Gaza pada Jumaat mengorbankan 11 ahli keluarga Shaaban, termasuk tujuh kanak-kanak dan dua wanita, selepas kenderaan mereka disasarkan tanpa amaran.
  • Jurucakap Pertahanan Awam Palestin kecam tindakan itu sebagai jenayah terhadap orang awam, walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober.
  • Sejak Oktober 2023, hampir 68,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menjadikan Gaza hampir tidak lagi layak didiami.


Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Basal berkata kenderaan yang membawa 11 ahli keluarga Shaaban, termasuk tujuh kanak-kanak dan dua wanita diserang sejurus selepas ia melintasi "garisan kuning".

Beliau berkata serangan itu dilakukan tanpa sebarang amaran.

"Adalah mungkin untuk memberi amaran atau bertindak dengan cara yang tidak mengakibatkan kematian.

"Namun apa yang berlaku membuktikan bahawa penjajah masih dahagakan darah dan bertekad melakukan jenayah terhadap orang awam yang tidak berdosa," katanya.

"Garisan kuning" ialah sempadan tidak rasmi yang memisahkan kawasan di mana tentera Israel ditempatkan daripada kawasan yang dibenarkan untuk pergerakan rakyat Palestin dalam Semenanjung Gaza.

Perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang dimeterai melalui pengantaraan serantau dan antarabangsa serta mula dikuatkuasa pada 10 Okt, menetapkan pengunduran sebahagian tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza ke kedudukan baharu dalam enklaf yang dikenali sebagai "garisan kuning".

Sejak Oktober 2023, serangan Israel mengorbankan hampir 68,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan wilayah itu hampir tidak lagi layak didiami.

-- BERNAMA



#serangan udara Israel #timur Gaza #ragur nyawa sekeluarga #gencatan senjata