DUNIA

Serangan Israel: Petugas kemanusiaan PBB bantu usaha menyelamat di Gaza

Bernama 03/12/2025 | 08:00 MYT
Pejabat kemanusiaan itu mengulangi gesaannya supaya semua lintasan dan koridor sempadan dibuka bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan di Tebing Barat. - Gambar fail/ Reuters
NEW YORK: Ketika laporan mengenai serangan Israel di semua lima kawasan pentadbiran di Semenanjung Gaza terus diterima, para petugas kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa berkata mereka telah menjawab panggilan kecemasan dan membantu menyelaras usaha menyelamat mangsa yang cedera di Bandaraya Gaza, lapor Xinhua.

Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata operasi menyelamat itu dijalankan pada Isnin di kejiranan Tufah, susulan panggilan kecemasan daripada pasukan pertahanan awam.

Butiran mengenai sifat panggilan kecemasan itu tidak diperincikan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pasukannya mengetuai pemindahan perubatan 18 pesakit dan 54 pengiring dari Gaza untuk mendapatkan rawatan di luar negara, sambil menambah bahawa lebih 16,500 pesakit masih memerlukan rawatan menyelamatkan nyawa yang tidak dapat diperoleh di Gaza.

OCHA berkata dengan kedatangan musim sejuk, komuniti kemanusiaan di Semenanjung Gaza sedang berusaha meningkatkan penyampaian bantuan kepada penduduk yang memerlukan, termasuk kanak-kanak, yang menanggung penderitaan besar sejak dua tahun lepas.

Dalam tempoh dua bulan lepas, rakan kerjasama kemanusiaan telah menyalurkan puluhan ribu barangan penting bagi persiapan menghadapi cuaca lebih sejuk, selain pengagihan bekalan asas lain, termasuk kasut, pakaian, selimut dan tuala kepada kanak-kanak di seluruh wilayah itu.

Pejabat kemanusiaan itu mengulangi gesaannya supaya semua lintasan dan koridor sempadan dibuka bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan di Tebing Barat, sambil menegaskan keperluan akses tanpa halangan untuk pasukan perubatan kecemasan antarabangsa memasuki Gaza.

Di Tebing Barat, OCHA berkata pihaknya terus bimbang terhadap kesan operasi oleh pasukan Israel di kawasan pentadbiran utara Tubas dan Jenin sejak beberapa hari lepas.

Ia berkata terdapat laporan mengenai perpindahan penduduk, keadaan tidak selamat, kerosakan rangkaian air dan penutupan beberapa premis komersial.

"Dalam tempoh dua hari lepas sahaja, puluhan keluarga Palestin telah dipindahkan dari rumah mereka, yang kemudian dijadikan pos pemerhatian tentera," kata OCHA.

--BERNAMA-XINHUA




#Genosid Gaza #israel cabul gencatan senjata #PBB #serangan Israel