Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan RMK13 pada 12 tengah hari – Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Serangan Israel: Tiada makna rundingan nuklear dengan AS - Iran

Bernama 14/06/2025 | 10:45 MYT
Selepas serangan pada Jumaat, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi yang mengetuai rundingan bagi pihak Tehran, setakat ini belum mengesahkan atau membatalkan rundingan tersebut. - Foto AP
TEHRAN: Kerajaan Iran berpendapat bahawa tiada lagi tujuan untuk meneruskan rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) susulan serangan besar-besaran Israel terhadap kemudahan negara itu, menurut Kementerian Luar Iran seperti dilaporkan agensi berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Iran pertikai rundingan nuklear dengan AS: Kerajaan Iran menyatakan tiada lagi tujuan meneruskan rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat selepas serangan besar-besaran Israel terhadap kemudahan negara itu.
  • Pendirian bercanggah AS terhadap Iran: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ismail Baghai, mendakwa AS mahu berunding tetapi pada masa yang sama membiarkan Israel mencabuli kedaulatan Iran.
  • Ketidakpastian mengenai rundingan di Oman: Rundingan nuklear terbaru dijadualkan berlangsung Ahad ini di Oman, namun Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, belum mengesahkan sama ada rundingan akan diteruskan atau dibatalkan.


Jurucakap kementerian, Ismail Baghai, dilaporkan berkata oleh agensi berita Tasnim bahawa pendirian AS adalah bercanggah apabila mendakwa mahu berunding, namun dalam masa sama membiarkan Israel mencabuli kedaulatan wilayah Iran.

Washington dan Tehran telah mengadakan rundingan selama kira-kira dua bulan berhubung program nuklear Iran yang dianggap kontroversi, namun rundingan itu kebelakangan ini dilaporkan tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

[TERKINI] Apa yang kita tahu mengenai serangan balas Iran ke atas Israel

Pusingan rundingan baharu dijadualkan berlangsung Ahad ini di Oman. Namun, selepas serangan pada Jumaat, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi yang mengetuai rundingan bagi pihak Tehran, setakat ini belum mengesahkan atau membatalkan rundingan tersebut.

Sementara itu, agensi berita rasmi IRNA memetik Baghai sebagai berkata: "Masih belum jelas keputusan yang akan kami buat pada Ahad ini."

-- BERNAMA



#Israel serang Iran #rundingan nuklear #Amerika Syarikat #Oman