DUNIA

Serangan ke atas pemimpin di Doha tidak ubah tuntutan gencatan senjata Gaza - Hamas

Agensi 11/09/2025 | 23:10 MYT
Asap tebal kelihatan selepas letupan susulan serangan Israel di Doha, Qatar, pada Selasa lalu. - Gambar AP
DOHA: Pasukan pejuang Palestin, Hamas menegaskan, serangan Israel yang menyasarkan kepimpinan politik kumpulan itu di Qatar minggu ini tidak akan mengubah syarat-syarat utama mereka bagi menamatkan perang di Gaza.

Menurut pegawai Hamas pada Khamis, serangan udara yang cuba membunuh pemimpin politik mereka di Doha pada Selasa lalu adalah tindakan eskalasi unilateral Israel yang turut dikritik pegawai Amerika Syarikat (AS) kerana “tidak menguntungkan” kedua-dua pihak.

Dalam kenyataan pada Khamis, Hamas mendakwa, Washington bersekongkol dengan Tel Aviv dalam serangan berdarah itu, yang disifatkan sebagai usaha Israel menggagalkan rundingan gencatan senjata di Gaza ketika Doha menguruskan pengebumian mangsa.

Dalam ucapan televisyen, pegawai kanan Hamas, Fawzi Barhoum berkata, serangan tersebut menyasarkan delegasi perunding kumpulan itu ketika mereka sedang membincangkan cadangan gencatan senjata baharu yang dibentangkan Perdana Menteri Qatar sehari sebelumnya.

“Ketika serangan pengganas itu berlaku, delegasi perunding sedang meneliti maklum balas terhadap cadangan tersebut,” jelas Barhoum.

“Jenayah ini adalah pembunuhan terhadap keseluruhan proses rundingan dan serangan terancang terhadap peranan saudara-saudara kita di Qatar dan Mesir sebagai pengantara,” tambahnya.

Qatar sebelum ini menjadi tuan rumah dan perantara utama dalam rundingan bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.

Barhoum sekali lagi menegaskan, tuntutan utama Hamas iaitu: gencatan senjata sepenuhnya, pengunduran tentera Israel dari Gaza, pertukaran tahanan dengan tebusan, bantuan kemanusiaan serta usaha pembinaan semula wilayah itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kekal dengan pendirian mahukan perjanjian “semua atau tiada” - melibatkan pembebasan kesemua tebusan sekali gus dan penyerahan Hamas.

Hamas mengesahkan lima anggotanya terkorban dalam serangan tersebut, termasuk anak kepada Ketua Hamas Gaza yang berada dalam buangan merangkap ketua perunding, Khalil Al-Hayya.

Serangan di Doha itu mendapat kecaman daripada kuasa serantau termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain Kesatuan Eropah, yang bimbang ia akan menggagalkan usaha damai tajaan AS bagi menghentikan konflik hampir dua tahun di Gaza. - Agensi




#Hamas #israel serang doha #gencatan senjata #Benjamin Netanyahu