Skip to main content
Advertisement

Dunia

Serangan ketika rundingan berisiko jejas kepercayaan terhadap diplomasi - Iran

Smoke rises following an explosion, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 5, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Serangan yang dilancarkan ketika proses diplomatik sedang berlangsung bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap Iran, malah terhadap diplomasi itu sendiri. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

KUALA LUMPUR: Serangan ketenteraan yang dilancarkan ketika rundingan diplomatik sedang berlangsung boleh mengikis kepercayaan antarabangsa terhadap diplomasi dan menyebabkan negara semakin keberatan untuk bergantung pada komitmen diplomatik pada masa hadapan, kata Kaunselor Kebudayaan Iran di Malaysia Dr Habibreza Arzani.

Dalam kenyataan pada Khamis, Arzani berkata serangan yang dilancarkan ketika rundingan sedang berjalan bukan sahaja memberi kesan kepada negara yang menjadi sasaran, malah turut menjejaskan proses diplomasi itu sendiri.

“Serangan yang dilancarkan ketika proses diplomatik sedang berlangsung bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap Iran, malah terhadap diplomasi itu sendiri dan satu tamparan serius kepada kepercayaan antarabangsa,” kata beliau ketika mengulas ucapan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81.

Arzani mempersoalkan bagaimana negara boleh terus mempercayai komitmen diplomatik sekiranya rundingan pada masa sama digunakan sebagai perlindungan untuk merancang tindakan ketenteraan.

“Jika rundingan digunakan sebagai alasan untuk merancang serangan ketenteraan, bagaimana negara boleh diharapkan untuk mempercayai janji diplomatik pada masa hadapan?” soal beliau.

Beliau berkata diplomasi tidak akan berjaya sekiranya satu pihak memasuki rundingan dan pada masa sama menyediakan bom, sekatan dan operasi ketenteraan terhadap pihak lain.

Perkara itu turut menimbulkan persoalan lebih luas mengenai kredibiliti sistem antarabangsa, khususnya peranan PBB dalam menegakkan undang-undang antarabangsa dan melindungi negara yang menjadi mangsa pencerobohan, katanya.

“Kredibiliti sesebuah organisasi tidak boleh diukur berdasarkan jumlah mesyuarat yang diadakan atau resolusi yang diluluskan.

“Ia perlu dinilai berdasarkan keupayaannya melaksanakan undang-undang antarabangsa secara adil dan melindungi negara yang menjadi mangsa pencerobohan.

“Prinsip yang sama yang melindungi kedaulatan sesebuah negara juga perlu melindungi Iran. Undang-undang yang melarang pembunuhan orang awam juga perlu melindungi rakyat Gaza,” kata beliau.

Beliau turut menyifatkan Palestin sebagai ujian utama terhadap komitmen masyarakat antarabangsa terhadap hak asasi manusia, sambil berkata kegagalan melindungi kanak-kanak, hospital, sekolah dan pelarian Palestin menimbulkan persoalan asas mengenai tujuan undang-undang antarabangsa.

“Jika undang-undang antarabangsa tidak mampu melindungi kanak-kanak Palestin, hospital, sekolah dan pelarian, dunia perlu bertanya untuk siapa sebenarnya undang-undang itu diwujudkan,” kata Arzani.

Beliau menegaskan sokongan Iran terhadap Palestin tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut persaingan serantau atau pertimbangan politik sementara.

“Iran mahu kekuatan untuk mempertahankan rakyat, kemerdekaan dan wilayahnya, bukan untuk mencabuli hak negara lain.

“Iran bersedia untuk berdamai, tetapi tidak akan menerima keamanan yang dipaksa melalui kekerasan,” kata beliau sambil menambah bahawa rundingan yang dijalankan “di bawah bayangan ancaman dan pengeboman tidak boleh dianggap sebagai diplomasi yang adil”.

Mesej utama Tehran ialah undang-undang antarabangsa, diplomasi dan perlindungan orang awam mesti dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira negara yang terlibat, kata beliau.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement